suria

China Akan Pindahkan Teknologi Kereta Api KPD Malaysia

Zulkifli (tiga, kanan) dan Khairani Mohamed (kanan) semasa membuat lawatan ke Kilang CSR ZhuZhou Electric Locomotive sempena kerja menyiapkan pesanan tren di Zhuzhou, China baru-baru ini.- fotoBERNAMA
ZHUZHOU (China): Kerjasama dua hala antara Malaysia dan China akan meningkat ke tahap baharu dalam bentuk pemindahan teknologi menerusi pembukaan kilang gerabak dan lokomotif kereta api, CSR Rolling Stock Centre (Malaysia) Sdn Bhd, di Batu Gajah.

Pengarah Kumpulan Bahagian Pembangunan Projek Syarikat Prasarana Negara Bhd, Zulkifli Mohd Yusoff, berkata kilang di Batu Gajah itu akan mengeluarkan gerabak dan lokomotif kereta api dengan 30 peratus kandungan tempatan menerusi kontrak dengan CSR Zhuzhou Electric Locomotive Co. Ltd (CSR).

Beliau berkata kilang itu dijangka siap pada September.

"Keperluan tempatan termasuk mengambil pekerja tempatan di samping menempah tempat duduk, CCTV, skrin LCD dan pemegang, daripada syarikat tempatan," katanya kepada pemberita yang melawat ke CSR untuk menyaksikan set pertama kereta api enam gerabak yang dibeli oleh Prasarana untuk Projek Sambungan Laluan LRT Ampang.

Zulkifli ditemani oleh Pengarah Kumpulan Prasarana bagi Bahagian Rel, Khairani Mohamed, merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail dan Pengarah Kumpulan Kewangan Prasarana Datuk Zahir Zahur Hussain.

Turut hadir Anggota Lembaga Prasarana Datuk Nor Azmal Mohd Nazir dan Azrin Abdul Majid, Pengarah (ganti) untuk Prasarana.

Prasarana, pemilik dan pengendali perkhidmatan RapidKL LRT, mengumumkan bahawa Peringkat 1 Projek Sambungan Laluan Ampang LRT akan memulakan operasi pada Oktober ini dari Seri Petaling ke Bandar Kinrara.

Zulkifli berkata sambungan laluan itu yang akan menghubungkan ke Projek Sambungan Laluan LRT Kelana Jaya di Putra Heights, akan dibuka dalam dua peringkat.

"Sambungan Laluan Ampang akan siap dalam beberapa peringkat, dengan peringkat pertama meliputi empat stesen, menjelang 30 Okt, 2015," katanya.

Peringkat kedua dijangka memulakan operasi pada hujung Mac, 2016. Laluan Ampang yang dipanjangkan itu akan mempunyai 11 stesen manakala Laluan Kelana Jaya membabitkan 12 stesen baharu.

Stesen baharu Peringkat 1 Laluan Ampang ialah Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera dan Kinrara BK5, yang memberi kemudahan kepada penduduk di sekitar Bukit Jalil, Projek Perumahan Rakyat Muhibbah dan Bandar Kinrara di Puchong.

Prasarana membeli 50 set baharu kereta api enam gerabak daripada CSR termasuk 30 set untuk menggantikan gerabak yang kini digunakan sejak 1996.

Semua gerabak baharu itu akan mempunyai ciri-ciri keselamatan tambahan dan enam bahagian untuk pengguna berkerusi roda.

Sistem operasi LRT itu juga dipertingkatkan kepada sistem automatik dengan penjaga, peta paparan laluan automatik, CCTV dalam gerabak dan skrin LCD hiburan.

Set pertama dijadual diserahkan pada suku keempat 2014 dengan ujian dan pengoperasian dimulakan sebaik saja ia diterima.

Laluan Ampang kini memberi khidmat kepada kira-kira 200,000 penumpang setiap hari dan ini dijangka meningkat kepada lebih 400,000 dengan stesen tambahan itu. - BERNAMA

Malaysia, China, LRT Ampang, Prasarana

Artikel Lain