suria

Empat Warga Indonesia Ditahan Seludup Syabu

JAKARTA: Empat lelaki warga Indonesia ditahan kerana disyaki menyeludup lima kilogram syabu dari Malaysia baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pembenterasan Dadah Badan Narkotik Nasional, Brig Jen Deddy Fauzi Elhakim, yang dipetik oleh akhbar harian bahasa Inggeris The Jakarta Post pada Selasa, berkata sindiket itu menggunakan bot menangkap ikan berkelajuan tinggi untuk mengangkut dadah bernilai 6 billion Rupiah (RM1.7 million) dari Pulau Pinang ke Acheh.

Detektif-detektif agensi itu menahan suspek-suspek di lokasi berasingan di Acheh pada 9 Feb lepas.

Selain dadah, pihak berkuasa juga merampas pistol buatan sendiri dan senapang angin daripada mereka.

Siasatan agensi itu mendapati dadah-dadah itu dibuat di Guandong, China.

Semasa satu serbuan besar-besaran Januari lepas, polis China merampas tiga tonne syabu dan menahan 182 orang di lokasi serbuan.

"Sebelum serbuan, sindiket-sindiket membawa dadah itu ke seberang laut, termasuk Indonesia. Memandangkan kualitinya berbeza, dadah itu boleh dijual pada 1.2 juta Rupiah (RM336) segram atau tiga kali ganda nilai lain-lain syabu," kata Deddy. - BERNAMA

Artikel Lain