suria

Waran Tangkap Dikeluarkan Terhadap 19 Pemimpin PDRC Di Thailand

BANGKOK: Mahkamah Jenayah di sini telah mengeluarkan waran tangkap terhadap 19 pemimpin Jawatankuasa Pembaharuan Demokrasi Rakyat (PDRC) kerana mengingkari perintah darurat dengan meneruskan protes jalanan mereka, yang berlangsung sejak beberapa bulan lepas.

Waran tangkap itu dikeluarkan terhadap pemimpin utama PDRC, Suthep Thuagsuban serta jurucakapnya, Akkanat Prompan.

Turut disenaraikan dalam waran tangkap itu ialah Sathit Wongnongtoey, Chumpon Junlasa, Putthipong Punnakan, Issara Somchai, Vittaya Kaewparadai, Thaworn Senneam, Nuttapol Thipsuwarn, Anchalee Paireerat dan Nithithorn Lumlue.

Mahkamah itu juga mengeluarkan waran tangkap terhadap Uthi Yodmnee, Jeneral (Bersara) Preecha Iamsuwarn, Leftenan Muda Samdin Lertbutr, Ratyuth Sirayothinpakdhi, Kittichai Saisaart, Samrarn Rodpet, Onthiyarn Chuenruthainaitham dan Parnsuwarn Na Kaew.

Perintah darurat itu berkuat kuasa selama 60 hari bermula dari 22 Januari lepas di Bangkok, wilayah Nontaburi, daerah Lat Lumkaew di Pratumthani dan daerah Bangphli di Sumutprakarn.

Setakat ini, pemimpin-pemimpin PDRC itu tidak memberikan sebarang reaksi berhubung waran tangkap yang dikeluarkan terhadap mereka.

Sebelum ini, waran tangkap dikeluarkan terhadap Suthep dan beberapa pemimpin PDRC tetapi pihak berkuasa keberatan melaksanakannya kerana bimbang ia boleh mencetuskan keganasan para penunjuk prasaan.

Malah, Suthep dan pemimpin PDRC sentiasa dikelilingi sejumlah besar pengawal keselamatan yang menyukarkan sebarang cubaan untuk menahan mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain