suria

Kisah Nelayan Yang Hanyut 13 Bulan Di Lautan Pasifik

MAJURO (Kepulauan Marshall): Seorang nelayan yang hanyut di Lautan Pasifik selama lebih 13 bulan berkata yang dia hampir membunuh diri tetapi tidak berbuat demikian kerana pegangan agamanya yang kuat.

Jose Salvador Alvarenga memberitahu yang dia juga sentiasa teringatkan keluarganya dan perasaan ingin kembali ke pangkuan mereka mendorongnya untuk terus berlawan dengan arus dan kekal hidup selama lebih setahun.

Dia juga menceritakan bagaimana dia terpaksa membuang mayat rakannya ke laut untuk terus kekal hidup.

Alvarenga dikatakan hanyut sejauh 12,500 kilometer (8,000 batu) dari perairan Mexico sehinggalah dia mendarat di Kepulauan Marshall.

Bercakap kepada agensi berita AFP melalui jurualih bahasa Sepanyol dari Hospital Majuro di mana dia dirawat sekarang, Alvarenga berkata, ada ketika dia sudah berputus asa dan mahu mengambil nyawanya sendiri tetapi akhirnya tidak berbuat demikian kerana takutkan Tuhan.

"Setiap hari saya tersedar dari tidur hanya melihat langit, matahari dan air sahaja. Apa yang boleh saya lakukan ialah bermimpikan makanan kegemaran saya untuk kekal hidup," tambah Alvarenga.

Menceritakan pengalaman pahitnya itu, Alvarenga, 37, berkata dia pada mulanya hanya mahu keluar memancing pada Disember 2012, bersama seorang remaja bernama Xiguel yang hanya berusia 18 tahun.

Tetapi malangnya, mereka yang menaiki sebuah bot kaca gentian berukuran tujuh meter (24 kaki) panjang kemudiannya hanyut apabila enjin mereka mengalami kerosakan.

Angin yang bertiup kencang menjadi punca utama mengapa mereka terus hanyut dibawa arus.

Rakannya itu meninggal dunia selepas empat bulan mereka hanyut kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan ekstrem di tengah-tengah lautan.

"Kami hanya berpeluang makan daging burung yang ditangkap menghinggap di atas bot tapi badan dia tidak dapat menerima makanan mentah dan setiap kali dia cuba dia akan memuntahkannya keluar," kata Alvarenga.

Dan apabila remaja itu meninggal dunia kerana kebuluran, dia terpaksa mencampak mayat itu ke dalam laut.

Alvarenga juga berkata, dalam tempoh tersebut dia cuba untuk mengira hari dengan menghitung matahari terbit dan tenggelam tetapi selepas seketika, dia tidak lagi sanggup mengira.

"Ada ketikanya saya dapat merasakan ada sesuatu yang menghentak botnya itu dan akhirnya dia dapati ia adalah penyu. Dari situ dia belajar bagaimana untuk menangkap penyu sebagai makanan hariannya," ujar Alvarenga.

Alvarenga juga bercerita bagaimana dia bernasib baik kerana masih memiliki peralatan memancing dan itu juga telah membantunya untuk terus hidup sepanjang lebih setahun hanyut di lautan luas.

Tetapi yang paling unik dan melucukan ialah bagaimana Alvarenga belajar untuk berdiri tegak tanpa bergoyang di atas bot sehinggakan burung camar dan burung laut yang lain menyangkakan itu adalah batang kayu dan datang hingap.

Dari situ dia mengambil peluang untuk menangkap burung-burung tersebut menggunakan tangannya.

"Tetapi perkara yang paling teruk yang perlu saya lakukan ialah meminum air kencing sendiri apabila dalam tempoh tiga bulan tidak ada setitik pun air hujan yang turun," ujarnya.

Alvarenga terus hanyut dibawa arus sehinggalah dia mendarat di Terumbu Karang Ebon.

"Saya nampak rumah dan terus merangkak ke arah rumah itu sambil menjerit sekuat hati," katanya lagi.

Ketika diselamatkan dia hanya ditemui memakai seluar dalam yang sudah koyak rabak.

Dan untuk pertama kalinya dia meneguk air berperisa dalam tempoh 13 bulan iaitu air kelapa muda.

Lima hari selepas ditemui, Alvarenga yang berbadan sasa tidak memperlihatkan ciri-ciri seorang yang terdedah kepada sinaran matahari untuk satu jangka masa yang panjang.

Melainkan rambutnya yang telah bertukar menjadi warna halia kerana terdedah kepada matahari, badannya tidak memperlihatkan tanda-tanda sopak pada kulit atau bibir yang merekah.

Tetapi sejarah menunjukkan terdapat kes-kes seperti ini berlaku ke atas mereka yang hanyut di lautan luas untuk jangkamasa yang panjang.

Artikel Berikut

Artikel Lain