suria

Pengundian Lancar Di 89% Pusat Mengundi Di Thailand

BANGKOK: Pilihan raya berjalan lancar di kebanyakan wilayah di Thailand pada Ahad, sekalipun pemprotes anti-kerajaan menyekat kertas undi daripada sampai ke pusat-pusat mengundi.

Dalam sesetengah hal, pegawai pengundian dilaporkan tidak muncul kerana khuatirkan keselamatan diri mereka.

Pengundian diadakan di 89.2 peratus daripada 93,532 pusat mengundi di seluruh negara, dan tidak ada kejadian keganasan dilaporkan, kata pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Supachai Phucharoen pada sidang akhbar tengah hari Ahad selepas pusat pengundian ditutup.

Beliau berkata proses pengundian dibatalkan di sembilan wilayah yang mempunyai 37 kawasan pilihan raya, dan di beberapa pusat pengundian di sembilan wilayah yang lain.

Thailand mempunyai sejumlah 77 wilayah dan 48.77 juta pengundi. Masalah pengundian dikatakan tertumpu di Bangkok dan di bahagian selatan.

Thailand mempunyai 375 anggota parlimen yang dipilih berasaskan kawasan sementara 125 kerusi bagi senarai parti calon.

Dalam pada itu, jumlah mereka yang mengundi di seberang laut dilaporkan rendah dengan hanya 38,350 pengundi atau 27 peratus daripada sejumlah 143,807 pengundi berdaftar di 67 negara menjalankan hak mereka.

Sementara itu, Supachai mengesahkan keputusan pilihan raya tidak dapat diumumkan hari ini, kerana masalah pengundian awal pada 26 Januari, yang dijadual diadakan semula pada 23 Februari.

Dalam perkembangan lain, media perdana dan media sosial sibuk menyiarkan berita mengenai Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra memasukkan kertas undinya di kotak undi yang salah.

Ditanya pemberita, beliau berkata beliau diarahkan oleh seorang pegawai pilihan raya memasukkan kertas undinya di kotak berkenaan.

Kumpulan pembangkang dengan pantas menghebahkan kesilapan itu.

Artikel Sebelum

Tiga Dipenjara Bakar 'Lelaki Gay'

Artikel Berikut

Artikel Lain