suria

Pilihan Raya Thailand Dicadang Ditangguhkan

BANGKOK: Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand mencadangkan agar pilihan raya yang dijadualkan pada 2 Februari depan ditangguhkan sekurang-kurangnya selama sebulan ekoran kebimbangan lebih banyak keganasan tercetus selepas kejadian pada Ahad.

Suruhanjaya terbabit dijangka bertemu dengan Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra esok bagi membincangkan tarikh pengundian selepas keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan penangguhan dibuat bagi menyelesaikan isu tunjuk perasaan antikerajaan yang berlanjutan sejak berbulan-bulan di ibu negara itu.

Pegawai suruhanjaya itu, Somchai Srisutthiyakorn berkata, walaupun masa sebulan tidak cukup untuk menyelesaikan konflik politik negara ini, tetapi tempoh penangguhan yang lama boleh menyebabkan kerajaan sementara ketika ini tidak dapat mentadbir Thailand dengan baik.

"Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan proses pengundian berjalan dengan lancar.

"Selain itu, kami juga perlu memastikan negara ini dalam keadaan aman untuk melaksanakan pilihan raya dan tidak mahu dicemari pertumpahan darah," katanya.

Dalam pada itu, Srisutthiyakorn berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan rancangan penunjuk perasaan untuk menubuhkan ‘majlis rakyat’ bagi mengambil-alih kerajaan.

"Cara mereka tidak mengikut syarat demokrasi dan pembaharuan yang diusulkan oleh ketua mereka, Suthep Thaugsuban dalam tempoh yang dirancang akan berhasil," katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, Parti Pheu Thai yang memerintah negara menegaskan tidak akan menangguhkan proses pilihan raya seperti yang ditetapkan pada 2 Februari depan.

Keputusan itu disuarakan oleh ketua parti, Jarupong Ruangsuwan walaupun proses pengundian awal yang berlangsung semalam diganggu oleh penunjuk perasaan dan kematian pemimpin kumpulan bantahan, Suthin Tharathin akibat ditembak sekumpulan lelaki bersenjata.

Ruangsuwan berkata, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai kuasa untuk melaksanakan pilihan raya dan parti pemerintah tidak bersetuju jika sebarang penangguhan dibuat.

"Pihak suruhanjaya berdegil untuk menunda pilihan raya dan saya fikir mereka dan Mahkamah Perlembagaan bekerjasama dengan penunjuk perasaan," katanya.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada keputusan beliau itu mewakili pihak kerajaan pimpinan Yinglcuk yang akan berbincang dengan uruhanjaya Pilihan Raya esok. – AFP

Artikel Lain