suria

Serangan Di Iraq: 26 Lagi Terbunuh Jadikan Jumlah Korban 850 Orang Bulan Ini

BAGHDAD: Nyawa melayang dengan begitu mudah di Iraq yang terbaru menyaksikan 26 orang lagi terkorban mangsa serangan perbalahan antara fahaman mazhab sejak semalam sehingga awal pagi ini.

Insiden terbaru ini melibatkan serangan di daerah yang didiami kumpulan berfahaman sunnah wal-jamaah di utara ibu negara Iraq ini.

Sejak awal tahun baru sehingga sekarang, angka kematian akibat serangan bom, tembak menembah dan bunuh membunuh telah memakan korban 850 nyawa.

Ini mendorong para diplomat asing dan pemimpin luar menggesa kerajaan pimpinan Syiah Iraq supaya melakukan sesuatu apatah lagi mereka khuatir keganasan akan meningkat menjelangnya pilihan raya umum April nanti.

Perdana Menteri, Nuri-al-Maliki setakat ini dilihat gagal menangani krisis dan perbalahan antara puak, fahaman mazhab berlainan dan persengketaan antara pihak kerajaan dan pembangkang.

Dalam kejadian terbaru di Abu Ghraib, sebuah petempatan kecil penganut fahaman suni lapan orang dilaporkan terkorban manakala enam orang anggota tentera telah ditembak di tempat pemeriksaan awam manakala satu letupan bom di tepi jalan telah mengorbankan dua orang.

Di tengah-tengah bandar Baghdad pula, empat orang telah ditembak mati dalam dua kejadian yang berasingan yang mana salah seorang daripada mangsa ialah bekas jeneral tentera.

Di dua buah pekan kecil bernama Baquba dan Mosul pula, tiga orang terkorban apabila berlaku pertempuran di antara puak militan dan pihak berkuasa tempatan.

Di bandar Kirkuk, tiga kejadian bom meletup telah mengorbankan empat nyawa dan satu lagi kereta yang diletupkan di pekan Mishahda turut mengorbankan tiga nyawa.

Dan di Fallujah, yang mana pihak berkuasa kehilangan kawalan sejak beberapa minggu yang lalu, sebuah bom meletup di sebuah rumah mengakibatkan seorang ibu dan tiga anak kecilnya terkorban.

Artikel Berikut

Artikel Lain