suria

Kes Saman SMRT,LTA: Remaja Thailand Mahu Rayu Keputusan Mahkamah Tinggi

SINGAPURA: Seorang remaja perempuan Thailand, yang kehilangan kedua-dua kakinya dalam kemalangan di stesen MRT Ang Mo Kio pada 2011, mahu merayu keputusan Mahkamah Tinggi selepas gagal dalam samannya terhadap pengendali keretapi SMRT dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA).

Televisyen tempatan, Channel News Asia (CNA) melaporkan peguam Nitcharee Peneakchanasak, Peter Cuthbert Low, sebagai berkata satu notis rayuan telah difailkan di mahkamah pada Jumaat.

Nitcharee menyaman SMRT dan LTA sebanyak S$3.4 juta (RM1 = S$2.6) dengan mendakwa kedua-dua pihak itu cuai dan gagal memastikan stesen itu selamat digunakan.

Nitcharee berusia 14 tahun ketika beliau jatuh ke landasan sebelum sebuah keretapi menggilis kedua-dua kakinya. Tuntutannya telah ditolak dengan kos oleh Mahkamah Tinggi awal bulan ini.

Mahkamah Tinggi mendapati Stesen MRT Ang Mo Kio adalah selamat ketika kejadian itu, dan kedua-dua defendan tidak boleh dipertanggungjawabkan.

Mahkamah Tinggi juga mendapati stesen MRT itu tidak sesak ketika kejadian dan ia tidak memerlukan tenaga kerja tambahan untuk mengawal stesen pada setiap masa bagi mengelak kejadian seseorang jatuh ke atas landasan secara tidak sengaja, terutamanya jika ia berlaku bukan kerana kesesakan di stesen. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain