suria

Penyokong 'Shutdown Bangkok' Bertindak Balas Anjur Perarakan Bantahan

BANGKOK: Penyokong kempen 'Shutdown Bangkok' telah bertindak balas terhadap dekri darurat dengan mengadakan perarakan bantahan di pejabat utama kerajaan sementara itu termasuk di Ibu Pejabat Polis Diraja Thailand Rabu.

Di timur laut wilayah Udon Thani, Kwanchai Praipana, yang juga Ketua Kumpulan Baju Merah dan penyokong kuat bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, telah ditembak dan cedera pagi ini.

Di Bangkok, ribuan penunjuk perasaan tidak mematuhi perintah darurat yang berkuat kuasa hari ini, dengan berarak ke Pejabat Tetap Setiausaha Pertahanan, yang juga ibu pejabat bagi kerajaan sementara pimpinan adik Thaksin, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Penunjuk perasaan tiba pukul 10.20 pagi. Yingluck, yang tiba kira-kira 30 minit lebih awal, meninggalkan bangunan itu selepas penunjuk perasaan mula mengelilingi premis berkenaan. Kumpulan itu mendesak tentera supaya menyebelahi mereka.

Kumpulan lain, yang diketuai Rangkaian Pelajar dan Rakyat Bagi Pembaharuan Thailand berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Diraja Thailand.

Kumpulan ini mendesak Ketua Polis Negara Jen Adun Saengsingkeow meletak jawatan atas dakwaan bahawa pihak polis bersetuju mengenakan perintah darurat dan bukan tentera. - BERNAMA

Artikel Lain