suria

Ekonomi Singapura Berkembang 4.4 Peratus Pada Suku Keempat 2013

SINGAPURA: Ekonomi Singapura berkembang 4.4 peratus dari tahun ke tahun pada suku keempat 2013 berbanding 5.9 peratus pada suku sebelumnya, demikian menurut Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI).

Dalam anggaran awal yang dikeluarkan pada Khamis, MTI berkata pada asas tahunan bermusim diselaraskan suku ke suku, ekonomi menguncup 2.7 peratus, berbanding peningkatan 2.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Bagi keseluruhan 2013, ekonomi dianggarkan meningkat 3.7 peratus.

Angka ini adalah sejajar dengan unjuran pertumbuhan MTI sebanyak 3.5 peratus hingga 4.0 peratus.

Berasaskan perbandingan tahunan, sektor pembuatan berkembang 3.5 peratus pada suku keempat 2013, turun daripada 5.3 peratus pada suku sebelumnya.

Pertumbuhan yang sederhana terutama disebabkan penguncupan lebih ketara dalam keluaran pembuatan bioperubatan dan kadar pertumbuhan perlahan dalam kejuruteraan pengangkutan.

Bagi asas suku ke suku, sektor itu menguncup pada kadar tahunan sebanyak 4.0 peratus berbanding pertumbuhan 1.2 peratus pertumbuhan pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Sektor pembinaan berkembang 4.7 peratus, menyederhana daripada pertumbuhan 5.8 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Kelembapan itu disebabkan oleh kesederhanaan dalam pertumbuhan aktiviti pembinaan sektor swasta.

Bagi suku ke suku, sektor pembinaan menguncup pada kadar tahunan sebanyak 6.9 peratus, berbeza dengan perkembangan 1.7 peratus pada tahun sebelumnya.

Industri pengeluaran perkhidmatan itu meningkat sebanyak 5.5 peratus, susut sedikit daripada pertumbuhan 6.5 peratus pada suku sebelumnya, berikutan peningkatan perlahan dagangan runcit dan borong selain sektor kewangan dan insurans.

MTI akan menyiarkan anggaran awal keluaran dalam negara kasar bagi suku keempat dan seluruh tahun 2013 pada Februari 2014, termasuk prestasi mengikut sektor, sumber pertumbuhan, inflasi, pekerjaan dan produktiviti dalam Tinjauan Ekonomi Singapura. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain