suria

Kerajaan Sementara Thai Lanjutkan ISA Di Bangkok Tiga Bulan Lagi

BANGKOK: Kerajaan Sementara Thailand melanjutkan kuatkuasa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama tiga bulan lagi di Bangkok dan beberapa kawasan di wilayah Pratum Thani dan Samut Prakarn.

ISA meliputi seluruh Bangkok, daerah Lat Lum Kaeo di wilayah Prathum Thani dan daerah Bang Phli di wilayah Samut Prakarn, kata Timbalan Menteri Pertahanan Sementara Yutthasak Sasiprapa selepas mesyuarat kabinet di sini, Rabu.

Yutthasak berkata, kabinet bersetuju dengan pelanjutan tempoh ISA kerana bimbang dengan demonstrasi oleh Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC) pada masa ini yang boleh mengancam pilihan raya umum pada 2 Februari.

Tempoh kuatkuasa ISA sekarang berakhir pada 31 Disember.

Pada Selasa, Suthep Thaugsuban, ketua PDRC mengancam akan menutup urusan seluruh Bangkok menjelang hari pilihan raya.

"Berikutan itu, saya yakin rakyat Bangkok tidak akan dapat keluar mengundi dalam pilihan raya umum 2 Februari," kata Suthep. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain