suria

Masyarakat Siam Kutuk Serangan Bom Di Sempadan Malaysia-Thailand

KUALA LUMPUR: Masyarakat Siam di negara ini mengutuk keras insiden letupan bom di tiga lokasi berasingan di selatan Thai yang bersempadan dengan Kedah dan Perlis, pada Ahad.

Senator Datuk Boon Som Inong berkata masyarakat Siam di negara ini memandang berat kejadian itu kerana bimbang ia boleh menjejaskan keselamatan dan keamanan di kawasan sempadan selain hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

"Kejadian itu sudah tentu akan menimbulkan kegusaran dan rasa tidak selamat kepada rakyat kedua-dua negara yang berniaga dan bekerja di kawasan berkenaan serta berkunjung sebagai pelancong," katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Boon Soom, yang merupakan anggota Dewan Negara mewakili masyarakat Siam di negara ini turut menasihati rakyat Malaysia supaya menangguhkan sementara hasrat untuk berkunjung ke kawasan sempadan sehingga keadaan kembali aman dan selamat.

Beliau berharap rakyat Malaysia mengambil iktibar dan pengajaran daripada insiden itu bahawa terdapat pihak yang mengambil kesempatan daripada keadaan politik tidak stabil untuk mengancam, mengganggu dan menggugat keamanan, kemakmuran, keselamatan serta kedaulatan negara.

"Kita patut bersyukur kerana keadaan politik di Malaysia yang stabil membolehkan kita menjalani kehidupan dalam keadaan aman, membangun dan memajukan negara," katanya.

Boon Soom yang juga Penasihat Penyelaras Pembangunan Masyarakat Siam Pendang berkata rakyat perlu terus meningkatkan persefahaman tanpa mengira kaum, agama, budaya dan idelogi politik supaya perpaduan, kestabilan, keamanan, kemakmuran dan kemerdekaan dapat terus dikekalkan.

Lima letupan pada pagi dan petang semalam di Padang Besar, Danok dan Sadao mengorbankan dua rakyat Thai manakala 25 lagi cedera.

Tiada rakyat Malaysia yang dilapor terkorban. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain