suria

Malaysia-Indonesia Sepakat Minta Asean Beri Perhatian Isu Pengintipan

JAKARTA: Isu pengintipan oleh Australia terhadap Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dan beberapa pemimpin negara di rantau ini menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Yudhoyono sehingga kedua-dua pihak sepakat agar isu itu diberi perhatian oleh Asean. Najib berkata Malaysia bersetuju dengan pandangan Yudhoyono bahawa isu pengintipan harus diberikan perhatian di peringkat serantau khususnya di kalangan negara anggota Asean.

"Saya bersetuju dengan langkah yang Presiden Indonesia sebutkan mengenai intipan yang patut diberi perhatian pada peringkat Sidang Kemuncak Asean akan datang. "Apabila Presiden (Indonesia) usulkan, Malaysia akan beri sokongan kuat," kata Najib pada sidang akhbar bersama Yudhoyono di akhir pertemuan Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia di Istana Merdeka, Kompleks Istana Presiden Indonesia di sini pada Khamis.

Najib mengetuai delegasi Malaysia pada pertemuan itu yang turut disertai lapan menteri Kabinet Malaysia, manakala Yudhoyono mengetuai delegasi yang melibatkan 19 anggota Kabinetnya.

Acara tahunan itu yang dihoskan secara bergilir-gilir, menyediakan platform bagi kedua-dua pemimpin negara berbincang bagi meningkatkan hubungan kerjasama dalam pelbagai bidang selain mencari penyelesaian terharap isu yang mengganggu hubungan.

Pada sidang akhbar itu Yudhoyono menyambut baik komitmen Malaysia untuk bersama-sama Indonesia menangani isu pengintipan dari negara lain terhadap negara Asean.

"Berhubung isu intipan, kami sepakat mengajak negara-negara Asean untuk bersatu menolak pengintipan. Saya kira saling kepercayaan dan hormat amat penting dalam hubungan antarabangsa. "Oleh kerana itu saya gembira Perdana Menteri Malaysia akan menyokong sepenuhnya inisiatif yang akan saya sampaikan di Sidang Kemuncak Asean akan datang," katanya.

Kerajaan Indonesia baru-baru ini mengambil pendirian tegas mengecam Australia yang disifatkan melanggar hak asasi dan tidak menghormati hubungan dua hala apabila negara itu dilaporkan melakukan pengintipan ke atas beberapa pemimpin Indonesia. Isu pengintipan itu mendapat liputan meluas selepas dua media utama Australia, The Guardian Australia dan Australia's Broadcasting Corporation (ABC) mendedahkan dokumen rahsia milik Jabatan Pertahanan Australia yang menyebut perisik Australia mengintip Presiden Indonesia itu dan Wanita Pertama, Ibu Negara Ani Yudhoyono serta beberapa pemimpin lain dalam Kerajaan Indonesia.

Dokumen-dokumen tersebut menunjukkan badan perisik elektronik Australia, Defence Signal Directorate memantau aktiviti telefon bimbit Susilo selama 15 hari pada bulan Ogos 2009 ketika Kevin Rudd menjadi Perdana Menteri Australia.

Antara nama-nama lain yang dilaporkan diintip oleh pihak Australia ialah Naib Presiden Indonesia, Boediono dan bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.

Pada Rundingan Tahunan kali ini, Malaysia dan Indonesia menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) iaitu berhubung kerjasama dalam bidang belia dan sukan serta MoU mengenai pas pelajar dan visa untuk program pengajian tinggi. -BERNAMA

Artikel Lain