suria

Pegawai Kanan Tentera Laut AS Mengaku Bersalah Dalam Kes 'Si Gemuk Leonard'

SAN DIEGO: Seorang ejen kanan tentera laut Amerika Syarikat (NCIS) mengaku bersalah atas pertuduhan membekalkan maklumat sulit sebagai pertukaran untuk mendapatkan khidmat pelacur dan rasuah kepada kontraktor Malaysia, Leonard Glenn Francis yang lebih dikenali dengan panggilan 'Si Gemuka Leonard'.

John Beliveau II, 44, mengaku bersalah terhadap konspirasi menerima rasuah di Mahkamah Perseketuan Amerika Syarikat di San Diego selepas siasatan melibatkan kontrak kerajaan bernilai jutaan dolar.

Francis, yang juga pemilik syarikat, Glenn Defense Marine Asia (GDMA), didakwa membayar tiket penerbangan, penginapan hotel, hiburan serta membekalkan khidmat pelacur kepada pegawai tentera laut AS sebagai pertukaran untuk mendapatkan maklumat dalaman Tentera Laut, seperti jadual pelayaran kapal Tentera Laut - sebahagiannya adalah maklumat sulit.

GDMA telah membekalkan minyak, makanan dan barangan keperluan lain kepada tentera laut AS selama 25 tahun.

Beliveau, Francis dan Komander Tentera Laut Michael Misiewicz telah didakwa September lalu.

Seramai, enam pegawai tentera laut yang dikaitkan terlibat dengan skandal berkenaan namun jumlah sebenar dipercayai lebih ramai sekiranya Beliveau bekerjasama dengan pihak berkuasa memberikan maklumat beberapa nama lagi yang dipercayai menjadi rakan subahat mereka.

Dalam pengakuan bersalahnya, Beliveau mengaku membekalkan maklumat kepada Francis, mengenai siasatan penipuan dalam NCIS, serta nasihat bagaiaman untuk melepaskan diri siasatan yang dijalankan

Antara maklumat yang dibocorkan kepada Francis ialah senarai nama saksi dan rancangan selanjutnya dalam siasatan yang sedang dijalankan.

Walaupun Beliveau kesal dengan tindakan yang dilakukannya dia enggan mengulas sama ada dia akan membantu pihak berkuasa dalam siasatan lanjut mengenai kes berkenaan.

Peguamnya, Gretchen von Helms bagaimanapun berkata Beliveau sedia 'membuktikan dia seorang yang terhormat'.

Francis, Misiewicz dan Komander Jose Luis Sanchez telah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan ke atas mereka.

Beliveau berhadapan dengan tindakan penjara selama 20 tahun sebaik sahaja hukuman dilaksanakan pada Mac.

Francis ditahan di San Diego oleh pegawai AS ketika dia mahu terbang ke San Diego selepas agen NCIS membuat laporan palsu yang menyatakan mereka akan mengugurkan kes terhadapnya, selepas mengetahui dia akan membocorkan maklumat rahsia yang dibekalkan kepadanya. - Agensi.

Artikel Lain