suria

Rusuhan di Singapura: Warga Singapura Rasa Tidak Percaya

SINGAPURA: Warga Singapura masih kurang percaya dengan rusuhan yang dilakukan oleh sekumpulan pekerja warga asing di Little India pada lewat malam Ahad.

Pengurus bank, Eugene Leong, 28, berkata agak sukar untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku ketika 200 pekerja warga asing menyerang dan membakar beberapa kereta polis, ambulans, bas di tempat kejadian.

"Ia sudah pasti sesuatu yang sukar untuk difikirkan akan berlaku, terutamanya di Singapura, kerana negara ini terkenal dengan undang-undangnya yang ketat.

"Melihat insiden berkenaan dalam berita adalah satu yang mengejutkan dan menakutkan. Sekarang ramai yang mahu tahu apa tindakan tegas yang akan diambil bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang lagi," katanya ketika ditemui di Jalan Lapangan Lumba tempat berhampiran rusuhan itu berlaku.

Leong berkata sementara menunggu tindakan diambil terhadap mereka yang terlibat, kerajaan seharusnya meningkatkan jumlah kehadiran anggota polis terutamanya di kawasan yang mempunyai ramai warga asing.

"Satu lagi pilihan yang boleh diambil ialah mengehadkan waktu penjualan minuman beralkohol jadi mereka yang mabuk ini tidak akan duduk melepak di luar kedai dan membuat kacau," katanya yang berusia 28 tahun.

Perunding pelaburan, Daivan Sim, 30, turut melahirkan rasa terkejutnya sebaik sahaja mengetahui mengenai berita rusuhan itu berlaku.

"Kami tidak pernah mendengar berita sedemikian berlaku di sini dan kali terakhir rusuhan kaum berlaku pada 1969," katanya.

Beliau menambah insiden berkenaan satu perkara yang menakutkan dan boleh berulang kembali sekiranya tiada tindakan selanjutnya diambil.

"Kerajaan harus membuat penilaian mengenai perkara ini dan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah tersebut.

"Salah satu caranya ialah menggunapakai polisi yang diamalkan di Australia yang melarang perbuatan minum minuman keras di tempat awam," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, S. Ram Prakash, 14, yang menyaksikan insiden berkenaan daripada tingkat 17 rumah flat tempat dia tinggal berkata kejadian tersebut sangat menakutkan.

"Melihat kumpulan perusuh yang berang menyerang bas dengan batang kayu dan tong sampah adalah sesuatu yang tidak akan saya lupakan.

"Kumpulan berkenaan bertindak di luar kawalan dan rusuhan terus memuncak selepas 10 anggota polis dikerahkan ke tempat kejadian," katanya.

Dia berkata perkara yang amat menakutkan adalah apabila perusuh mula membakar beberapa kereta polis dan menterbalikkan kenderaan lain.

"Saya yakin mereka dalam keadaan mabuk kerana mereka menari dan menjerit ketika api mulai marak," katanya sambil menambah kumpulan perusuh itu hanya bersurai selepas anggota polis dikejarkan ke tempat kejadian.

Ram berkata insiden berdarah itu berakhir kira-kira 12 tengah malam dan beberapa kereta polis yang terbakar hanya dialihkan daripada tempat kejadian pada pukul 4 pagi Isnin.

Artikel Berikut

Artikel Lain