suria

Rusuhan di Singapura: PM Lee Tubuh Jawatankuasa Siasatan

Anggota Simpanan Persekutuan berkawal dihadapan sebuah ambulans yang dibakar Little India yang terletak dihadapan Jalan Race Course pada malam Ahad.
Anggota Simpanan Persekutuan berkawal dihadapan sebuah ambulans yang dibakar Little India yang terletak dihadapan Jalan  Race Course pada malam Ahad.
Anggota Simpanan Persekutuan berkawal dihadapan sebuah ambulans yang dibakar Little India yang terletak dihadapan Jalan Race Course pada malam Ahad.

SINGAPURA: Sebuah jawatankuasa siasatan akan ditubuhkan untuk menyiasat punca sebenar kejadian rusuhan yang berlaku di Little India, pada malam Ahad, kata Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

"Jawatankuasa berkenaan akan mencari punca sebenar yang menyebabkan berlakunya kejadian tersebut dan bagaimana insiden berkenaan diselesaikan.

"Mereka juga akan mengkaji semula pendekatan semasa yang digunakan untuk menguruskan kawasan di mana ramai pekerja asing berkumpul, sama pendekatan tersebut masih boleh digunapakai atau boleh diperbaiki dengan keadaan semasa. Kementerian Dalam Negeri akan mendedahkan butiran lanjut mengenainya apabila ia siap sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan.

Lee berkata rusuhan yang berlaku merupakan satu kes terpencil yang dilakukan oleh perusuh liar akibat daripada satu kemalangan maut yang berlaku berhampiran dengan tempat kejadian.

"Majoriti pekerja asing di Singapura ialah pekerja yang patuh kepada undang-undang. Mereka menyumbang kepada ekonomi negara, bekerja dengan susah payah untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik dalam menyara keluarga mereka di kampung halaman.

"Kita tidak harus membiarkan kejadian buruk seperti ini mencemarkan pandangan kita mengenai komuniti pekerja asing di negara kita di sini," katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Saktivel Kumaravelu, yang terbunuh dalam kemalangan melibatkan sebuah bas yang akhirnya menyebabkan rusuhan itu berlaku.

Lee turut menggesa rakyat Singapura bertenang dan menjalani kehidupan harian mereka seperti biasa.

"Berilah sokongan kepada pegawai barisan hadapan di Kementerian Dalam Negeri, maklumkan sebarang maklumat yang anda perolehi kepada pihak polis. Marilah kita bersatu sebagai satu pasukan dalam menghadapi kejadian yang tidak diingini ini, serta menjadikan Singapura sebuah negara yang selamat dan teratur," katanya.

Seramai 27 lelaki dari Asia Selatan telah ditahan berhubung rusuhan yang berlaku di Little India, malam Ahad.

Rusuhan tersebut bermula selepas sebuah bas melanggar seorang pekerja warga India, Kumaravelu, 33, ketika sedang melintas di persimpangan Race Course Road dan Hampshire Road.

Mangsa maut ditempat kejadian.

Dalam laporan terkini pada pukul 4 petang Isnin, pihak polis memaklumkan mereka yang ditahan terdiri daripada 24 warga India, 2 rakyat Bangladesh serta seorang penduduk tetap Singapura.

Setakat pukul 12 tengah hari Isnin, 22 anggota polis dan lima anggota polis trafik di bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pegawai berkenaan mengalami luka ringan dan kesan melecet dalam insiden berkenaan. Semua mereka dilaporkan telah dibenarkan keluar daripada hospital. - The Straits Times/ANN

Artikel Berikut

Artikel Lain