suria

Wartawan China Percaya Wartawan Asia Mampu Redakan Pertikaian Antara Negara

KUNMING (China): Wartawan Asia boleh membantu meredakan pertikaian antara negara di rantau ini dengan melaporkan perkara sebenar dan tidak memutarbelitkan fakta, demikian satu forum media antarabangsa diberitahu pada Jumaat.

Zhang Yannong, presiden People's Daily, antara akhbar terkemuka China, berkata pertikaian antara negara merupakan suatu hakikat dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh mengakibatkan ketidakstabilan serta menggugat kesejahteraan hidup penduduk di rantau ini.

"Wartawan Asia perlu membuat liputan tentang pertikaian ini secara objektif bagi mengelak timbulnya sebarang salah tafsiran dalam kalangan orang ramai dan cuba membantu membawa keamanan serta kestabilan ke rantau ini," katanya pada Forum Kerjasama Media Keenam 10 (Asean) +3 (China, Jepun, Korea Selatan) di sini.

Zhang berkata, pertikaian yang sedang melanda rantau ini membabitkan tuntutan wilayah oleh beberapa negara Asia berkaitan pulau tertentu yang terletak jauh dari sempadan masing-masing.

Katanya, media juga perlu bekerjasama antara satu dengan lain memandangkan negara mereka, terutama negara anggota Asean, saling bergantung antara satu dengan lain dalam mengejar kemajuan ekonomi.

Terdahulu, timbalan setiausaha agung Sekretariat Asean Dr Mochtan Achmad Kurnia Prawira berkata 2013 merupakan ulang tahun ke-10 hubungan Asean-China dan pada "Dekad Keemasan" lepas, China mempamerkan komitmen jitunya untuk memastikan rantau di sekelilingnya serta Asean sentiasa berada dalam keadaan aman dan stabil.

Katanya, China ingin bangun dan maju dari segi ekonomi secara aman serta mempunyai hubungan baik dengan semua negara di rantau ini.

Mochtan juga berkata pada 2015, Komuniti Asean akan menjadi kenyataan dan ini penting kerana negara semua anggota pertubuhan itu berkongsi impian untuk hidup dengan aman dan stabil.

Kira-kira 30 pengamal media kanan dari negara anggota Asean, China, Jepun dan Korea Selatan serta lebih 30 dari China menyertai forum sehari ini yang dihoskan akhbar People's Daily.

Malaysia diwakili Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Timbalan Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Tai Siew Kim. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bangkok Kembali Aman

Artikel Lain