suria

Mahkamah Madras Kekalkan Perintah Penahanan Rakyat Malaysia

CHENNAI: Mahkamah Tinggi Madras mengekalkan perintah penahanan seorang rakyat Malaysia yang dituduh menipu kematiannya di Malaysia dan melarikan diri ke India dengan menggunakan identiti palsu bagi mengelak dikenakan pertuduhan jenayah.

Karunairaj, 47, yang menggunakan sekurang-kurangnya tujuh nama lain, ditahan di kem Chengalpet.

Dia menghadapi tuduhan berkaitan enam kes di Malaysia dan sembilan kes di India, lapor Times of India pada Isnin.

Menurut polis Coimbatore yang menangkapnya pada Ogos 2010, Karunairaj memperoleh sijil kematian di Malaysia melalui seorang rakan setelah menipu kononnya dia telah meninggal dunia.

Selepas itu, lelaki ini datang ke India bersama isteri dan tiga anaknya.

Bagaimanapun, Karunairaj mempunyai versi berbeza tentang penahannya.

Lelaki ini mendakwa ketika datang ke Chennai untuk membeli-belah, dia ditangkap secara salah oleh seorang pegawai kanan Perkhidmatan Polis India (IPS).

Selain merampas barangan berharga kepunyaannya, termasuk 250 keping emas, pegawai itu juga mencabul kehormatan isterinya dan anak perempuan mereka yang berusia 19 tahun, lapor akhbar itu.

Karunairaj mendakwa dia tahu tentang kisah seorang pegawai polis yang mempunyai hubungan dengan kartel dadah antarabangsa dan oleh kerana mempunyai bukti tentang perkara itu, maka dia sekeluarga menerima akibatnya.

Malah, ketika melangkah keluar dari penjara pusat di Puzhal selepas dibenar ikat jamin bagi satu kes pada 8 September 2011, dia ditangkap polis Hosur kerana satu kes lain.

Walaupun lelaki ini dibenar ikat jamin dan dibebaskan pada 8 November 2011, dia ditahan secara tidak sah hingga 12 November 2011.

Kemudian dia dimaklumkan bahawa kerajaan mengeluarkan perintah bertarikh 9 Nov 2011 agar dia ditahan di kem khas untuk orang asing di Chengalpet.

Pada 29 Februari tahun lepas, seorang hakim mengetepikan perintah tahanan itu kerana meragui sebab Karunairaj ditahan semula sebaik sahaja meninggalkan penjara.

Rayuan berhubung kes ini sekarang difailkan Kerajaan Tamil Nadu, kata laporan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain