suria

Choong Orang Pertama Dapat Pasport Malaysia Dari Pejabat Imigresen Baharu Di Melbourne

MELBOURNE: Andrew Choong, pelajar di Glen Waverley Secondary School di sini, menjadi orang pertama di Australia mendapat pasport Malaysia yang menggunakan teknologi polikarbonat, apabila sebuah pejabat Imigresen baharu, dibuka di sini pada Isnin.

Choong, 17, berkata dia terkejut kerana urusan mendapatkan pasportnya begitu cepat berbanding sebelum ini.

"Hanya dalam masa 10 minit, saya mendapat pasport hari ini (Isnin). Berbeza dengan tiga tahun lepas, bapa saya (Chong Kai Wai, Ketua Eksekutif SP Setia di Melbourne), terpaksa memandu tujuh jam dari Melbourne ke Canberra untuk memperbaharui pasport kami.

Ketika menyerahkan pasport itu kepada Choong, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Aloyah Mamat berkata penggunaan teknologi baharu itu mampu mencegah pemalsuan pasport.

Aloyah, yang sebelum itu merasmikan pejabat berkenaan di Konsulat Jenderal Malaysia di sini, berkata ia merupakan pejabat Imigresen Malaysia ke-26 di seluruh dunia.

"Ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Malaysia untuk memberi perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada semua rakyat Malaysia di luar negara," katanya.

Aloyah berkata kemudahan baharu di Melbourne itu akan membolehkan seseorang memperoleh pasport dan dokumen visa pada hari sama.

Konsul Imigresen Malaysia baharu di sini Nawal Mohamed Amin berkata pemindahan kemudahan itu dari Canberra ke Melbourne dirancang beberapa bulan lepas.

"Saya rasa Melbourne akan menjadi popular dalam kalangan rakyat Malaysia dari tempat lain di Australia. Kami menerima banyak permintaan agar pejabat ini dipindahkan ke Melbourne," katanya.

Konsul Jeneral Datuk Dr Mohd Rameez Yahaya berkata berdasarkan data Kerajaan Australia, pada Jun 2011, sebanyak 137,690 rakyat Malaysia tinggal di negara ini.

"Jumlah ini 29 peratus lebih ramai daripada pada 2006 dan dengan unjuran pertumbuhan kira-kira enam peratus setahun, rakyat Malaysia merupakan komuniti pendatang kesembilan terbesar di Australia.

"Jumlah pelajar Malaysia di Australia pula bertambah daripada 14,000 pada 2011 kepada kira-kira 21,000 pada 2013," katanya.

Menurut Mohd Rameez, lebih kurang setengah juta rakyat Australia melawat Malaysia tahun lepas, menjadikannya pasaran pelancong kelapan terbesar bagi Malaysia.

Rakyat Australia menyumbang kira-kira A$20.2 bilion kepada pendapatan Malaysia melalui pelancongan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain