suria

NESDB Thailand Gesa Pantau Pertumbuhan Perlahan Ekonomi, Ketidaktentuan Politik

BANGKOK: Pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan ketidaktentuan politik di Thailand merupakan isu yang perlu dipantau oleh negara dalam tempoh terdekat memandangkan ia mungkin menjejaskan iklim pelaburan dan seterusnya memperlahankan peluang pekerjaan.

Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pembangunan Sosial Thailand (NESDB) berkata satu lagi isu ialah kekurangan pekerja berkemahiran rendah dalam sektor pembinaan.

Lembaga itu menonjolkan isu-isu itu dalam laporannya mengenai keadaan sosial Thailand pada suku ketiga 2013.

"Pengurusan dan perancangan untuk mengimport pekerja asing harus dilakukan lebih awal selain menggunakan teknologi sebagai ganti kepada tenaga kerja," katanya.

Ia juga berkata kadar pengangguran meningkat kepada 0.77 peratus pada suku ketiga 2013 akibat pertumbuhan ekonomi perlahan sedangkan jumlah pemohon kerja bertambah dengan cepat berbanding penawaran.

Bagaimanapun, NESDB menganggap kadar pengangguran itu sebagai bermusim dan rendah dan tidak menjejas ekonomi secara keseluruhan dan kestabilannya.

Menurut laporan itu, ganjaran dan gaji dalam sektor swasta, termasuk kerja lebih masa dan faedah lain pada suku ketiga 2013, meningkat 11.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas manakala harga meningkat 1.7 peratus, menyebabkan kenaikan 9.3 peratus gaji dan upah sebenar dalam sektor swasta. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain