suria

Lufthansa Unjur Trafik Kargo, Penumpang Ke Malaysia & Indonesia Meningkat

FRANKFURT: Lufthansa dan syarikat gabungannya, Lufthansa Cargo, mengunjurkan trafik kargo dan penumpang ke Malaysia dan Indonesia meningkat berikutan pelancaran perkhidmatan penerbangan Lufthansa tanpa henti dari Frankfurt ke Kuala Lumpur dan Jakarta.

Perkhidmatan baharu itu menawarkan lima penerbangan seminggu antara Frankfurt dan Kuala Lumpur mulai 30 Mac 2014.

"Perkhidmatan itu (ke Malaysia dan Indonesia) akan menjadi pemacu kepada pertumbuhan dalam perdagangan, pelancongan dan trafik penumpang.

"Kami menjangkakan isi padu trafik kargo udara kami ke kedua-dua destinasi itu bertambah kerana perkhidmatan ini juga menyediakan pengangkutan kargo," kata Karl Ulrich Garnadt, Ketua Pegawai Eksekutif Kargo merangkap Pengerusi Lufthansa.

Lufthansa Cargo, yang menempah sejumlah lima pesawat pengangkut B777 dengan Boeing Co, mengendalikan lebih daripada 1.7 juta tan kargo pada 2012.

Kalangan perniagaan Jerman mahukan perhubungan tanpa berhenti antara Frankfurt dan Kuala Lumpur ditambah.

Ketika ini, Malaysian Airlines mengendalikan lima penerbangan seminggu antara Kuala Lumpur dengan Frankfurt, namun pakar berkata banyak permintaan untuk jumlah penerbangan ditambah kini dapat dipenuhi berikutan penambahan penerbangan Lufthansa antara kedua-dua negara itu.

Di samping lima tempahan pesawat pengangkut dengan Boeing, syarikat itu juga mengetepikan sejumlah peruntukan untuk mewujudkan apa yang Garnadt sifatkan sebagai "pereka teknologi maklumat kelas pertama" dan membangunkan pusat kargo logistik tercanggih di Frankfurt.

Beliau berkata laluan Atlantik Utara akan mengukuh manakala Asia Pasifik akan terus menjanjikan peluang yang besar.

"Asean dan Indonesia merupakan pasaran yang sungguh meyakinkan. Pesawat penumpang Lufthansa yang akan memulakan penerbangan ke Kuala Lumpur dan Jakarta mulai penghujung Mac sudah tentunya akan memperkukuhkan trafik kargo kerana pesawat berkenaan turut membawa jumlah kargo yang besar dalam pesawat berkenaan," kata Garnadt.

Malaysia menjadi pusat tumpuan Lufthansa yang kembali memberi perhatian kepada rantau ini.

Selain China dan India, syarikat penerbangan Jerman itu juga memantau potensi pasaran Asean yang akan bergabung seterusnya dalam Komuniti Ekonomi Asean pada 2015.

Kalangan perniagaan Jerman begitu teruja dengan kekuatan pasaran Asean bernilai US$2 bilion, dengan 600 juta penduduknya.

Majlis Perniagaan Asia Pasifik yang berpangkalan di Hamburg, atau OAV, menekankan pentingnya Asean kepada perniagaan Jerman dalam banyak pengumumannya baru-baru ini.

Penerbangan Lufthansa ke Kuala Lumpur juga akan menyediakan rangsangan kepada Tahun Melawat Malaysia 2014 untuk Tourism Malaysia memikat pelancong.

Di samping Lufthansa Cargo memperoleh pesawat pengangkut kargo, syarikat penerbangan Lufthansa juga giat membeli pesawat terbaharu.

Nico Buchholz, naib presiden eksekutif kumpulan Lufthansa (pengurusan ujian) baru-baru ini memberitahu Bernama di New York bahawa syarikat itu membuat perancangan jangka panjang untuk membeli pesawat.

"Kami memperuntukkan kira-kira US$50 bilion untuk membeli 295 pesawat, berdasarkan kadar pertumbuhan purata tiga peratus," kata Buchholz.

Berikutan pembelian pesawat besar itu, syarikat penerbangan itu terpaksa menggunakan pesawat baharu berkenaan secara produktif, di samping pesawat sedia ada dengan membuka laluan dan pasaran baharu.

"Tidaklah memeranjatkan jika Lufthansa menghidupkan semula sesetengah laluan lamanya yang sebelum ini dihentikan atau kurang diberi tumpuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain