suria

Rolls-Royce Serah Peralatan Kapal Untuk 10 Kapal Nam Cheong

SINGAPURA: Rolls-Royce menandatangani kontrak untuk menyerahkan satu pakej peralatan perkapalan bagi 10 kapal pengendali sauh luar pantai kepada pembina kapal Malaysia, Nam Cheong Ltd.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, syarikat itu berkata kontrak berkenaan termasuk satu opsyen mendapatkan peralatan untuk kapal tambahan pada masa depan.

Skop kontrak Rolls-Royce itu termasuk jentera dek untuk kapal yang direka bentuk oleh Nam Cheong bagi operasi pengendalian penambat dengan kuasa tarikan kapal 80 tan.

Kontrak untuk peralatan 10 buah kapal itu bernilai £20 juta kepada Rolls-Royce.

Nam Cheong Ltd adalah pembina kedua terbesar Kapal Sokongan Luar Pantai sebelah timur Terusan Suez.

Kapal-kapal itu akan dibina di limbungan kapal berbeza - empat di Malaysia dan enam di China.

Anders Almestad, Presiden Luar Pantai, Rolls-Royce Marine berkata syarikat berbangga dapat menyertai program pembinaan baharu yang mengagumkan.

"Nam Cheong adalah pembina kapal luar pantai yang berpengalaman dan kami bangga untuk terus bekerjasama dengan mereka," katanya.

Kapal-kapal itu akan dilengkapi beberapa alat angkut tekanan rendah hidrolik daripada Rolls-Royce yang dapat melaksanakan pelbagai kerja pengendalian tambatan dan penghantaran.

Rolls-Royce juga akan menyerahkan kipas, dua alat tujahan terowong dan sistem pengawalan dorongan (Helicon X3) untuk setiap kapal.

Rolls-Royce merupakan pembuat sistem kuasa dan perkhidmatan terkemuka dunia untuk kegunaan di darat, laut dan di udara dan mempunyai kedudukan yang kukuh dalam bidang aeroangkasa sivil, pertahanan aeroangkasa, marin dan tenaga dalam pasaran global. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain