suria

Malaysia Sedia Bantu Afghanistan Dalam Proses Pembinaan Semula

KUALA LUMPUR: Malaysia sedia membantu Afghanistan dalam usaha pembinaan semula di negara itu, kata Kuasa Usaha Perwakilan Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Raja Reza Raja Zaib Shah.

Beliau berkata Kuala Lumpur bersedia menerokai kaedah lain yang akan membolehkannya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada negara yang terjejas akibat perang itu.

Katanya Malaysia akan terus menyediakan pelbagai peluang bagi pembangunan negara bangsa dan sumber manusia kepada Afghanistan menerusi program-program latihan teknikal seperti Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). "Kami sedia bekerjasama dengan kerajaan Afghan untuk mengenal pasti bidang-bidang latihan yang boleh kami tawarkan yang paling sesuai dengan keperluan pembangunannya," katanya.

Beliau berucap bagi Agenda Perkara 37: Situasi Di Afghanistan pada sesi pleno Sesi Ke-68 Perhimpunan Agung PBB di New York semalam. Teks ucapan beliau dihantar ke Bernama pada Khamis.

Beliau berkata Kontinjen Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (MALCON) yang ditempatkan di provinsi Bamyan telah menghulurkan bantuan perubatan, pergigian dan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang diperlukan kepada rakyat Afghanistan dari Julai 2010 hingga April 2013.

Raja Reza berkata Malaysia juga sedia berkongsi pengalamannya dalam meningkatkan penglibatan dan pembangunan wanita dalam semua aspek kehidupan selaras dengan prinsip Islam.

"Malaysia mengulangi pandangannya bahawa Afghanistan akan mendapat banyak manfaat daripada penglibatan dan sumbangan wanita dalam politik, ekonomi dan sosial," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

16 Cedera Rusuhan di Mesir

Artikel Lain