suria

Politik Thailand Berdepan Satu Lagi Ujian

BANGKOK: Thailand akan menghadapi satu lagi ujian politik hari ini apabila Mahkamah Perlembagaan mengumumkan keputusannya mengenai pindaan draf piagam berhubung jumlah keanggotaan Senat.

Draf pindaan yang akan memerlukan anggota Senat dipilih mendapat sokongan 310 ahli Parlimen dan menunggu masa untuk dipersembahkan kepada Raja Bhumibol Adulyadej, namun dicabar pihak pembangkang atas alasan perlembagaan.

Hari ini, mahkamah akan mengumumkan keputusannya. "Tunggu dan lihat keputusan Mahkamah Perlembagaan dahulu," kata Perdana Menteri Yingluck Shinawatra yang mengambil langkah keselamatan dengan mengarahkan pihak berkuasa memantau di lokasi-lokasi yang mungkin berlaku kekacauan sebaik keputusan diumumkan.

Bercakap kepada pemberita pada Rabu, beliau menasihati rakyat Thailand supaya bertenang sementara menunggu keputusan itu.

Katanya, tiada sebab bagi kerajaan untuk meletak jawatan atau membubarkan Parlimen pada masa ini dan kerajaan akan membenarkan semuanya berjalan seperti biasa selari dengan proses sistem demokrasi.

- BERNAMA

Artikel Sebelum

Taufan Helen Bergerak ke India

Artikel Berikut

Artikel Lain