suria

Sri Lanka Bersedia Sambut Ketua Kerajaan Hadiri Chogm 2013

COLOMBO: Sri Lanka sudah bersedia sepenuhnya untuk menjadi tuan rumah kepada ketua kerajaan dan anggota perwakilan yang menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (Chogm) 2013 di sini untuk membincangkan isu global dan Komanwel.

Ini termasuk langkah untuk memastikan tidak berlaku sebarang perkara yang boleh mencacatkan perjalanan mesyuarat berprofil tinggi dua tahun sekali ini yang akan berlangsung dari 15 hingga 17 November.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang akan mengetuai delegasi Malaysia, dijadual tiba di sini pada Khamis untuk menghadiri Chogm kali ini yang bertemakan "Pertumbuhan Secara Saksama: Pembangunan Inklusif".

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Najib dijadual menyertai tiga sidang eksekutif dan tiga sidang permukiman bersama ketua kerajaan lain.

"Kehadiran Perdana Menteri (Najib) amat penting kerana ia membolehkan Malaysia mempelajari dan berkongsi pengetahuan dengan rakan kita dalam Komanwel," katanya.

Semasa berada di sini, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijadual menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Prince of Wales dan Duchess of Cornwall serta jamuan negara yang dihoskan Presiden Sri Lanka Mahinda Rajapaksa.

Komanwel adalah sebuah persatuan sukarela yang dianggotai 53 negara untuk membincangkan dan bekerjasama demi kepentingan bersama rakyat masing-masing dalam memupuk persefahaman antarabangsa dan keamanan dunia.

Komanwel mempunyai kira-kira 1.2 bilion penduduk.

Keadaan di pintu masuk utama ke Sri Lanka, Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike, begitu sibuk akhir-akhir ini dengan ketibaan anggota perwakilan, manakala para sukarelawan pula kelihatan begitu tekun memenuhi keperluan mereka.

Raptai penuh upacara perasmian Chogm 2013 yang diadakan di Nelum Pokuna Mahinda Rajapaksa Theatre pada Rabu menarik minat penduduk tempatan untuk menyaksikan acara penuh warna-warni yang akan berlangsung pada hari sebenar Jumaat ini.

"Bagus," kata seorang warga tempatan dikenali sebagai Nimal, yang menyaksikan raptai itu dari sebuah taman berhampiran.

Beratus-ratus anggota keselamatan dikerah bertugas di ibu negara Sri Lanka ini dan kehadiran mereka begitu terasa, terutama di venue utama seperti Bandaranaike Memorial International Conference Centre dan hotel penginapan anggota perwakilan. Mereka juga kelihatan mengawal jalan raya untuk melancarkan aliran trafik.

Anifah berkata ketua-ketua kerajaan dijadual membincangkan langkah untuk menangani cabaran semasa dan sedang muncul untuk mencapai pertumbuhan secara saksama dan pembangunan lestari.

Mereka juga akan mengkaji perkembangan politik dan ekonomi global serta membincangkan pelbagai isu, termasuk keamanan dan keselamatan antarabangsa, demokrasi, tadbir urus yang baik, pembangunan lestari, pengurusan hutang, pendidikan, rangka kerja pembangunan pasca 2015, isu perdagangan pelbagai hala dan hal-ehwal belia, katanya.

Chogm 2013 akan didahului dengan Mesyuarat Menteri Luar selama dua hari, yang bermula Rabu.

Anifah berkata para menteri luar berkenaan akan mengkaji perkembangan politik dan ekonomi global serta berbincang tentang isu yang akan dibincangkan para pemimpin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain