suria

Maybank New York Berpindah Ke Premis Baharu Yang Lebih Besar Di Park Avenue

NEW YORK: Pejabat Maybank New York berpindah ke premisnya yang baharu dan lebih besar di Park Avenue di tengah bandar, malam Selasa, berdekatan bank-bank utama lain seperti JP Morgan Chase, UBS dan Citicorp.

Park Avenue dianggap sebagai kawasan utama dengan sejumlah besar bank tempatan dan domestik beroperasi di bandar ini.

Premis baharu Maybank itu dirasmikan oleh Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang kini berada di New York bersama-sama dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias.

Turut hadir sekumpulan ahli perniagaan Malaysia dan tempatan.

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Datuk Hussein Haniff, dan Konsul Besar Malaysia di New York, Syed Bakri Syed Abdul Rahman, turut hadir pada majlis itu manakala Pengurus Besar Maybank di New York, Adam Malik Azlan, menjadi moderator majlis.

Abdul Wahid, yang sebelum ini adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank sehingga dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata premis baharu itu cukup besar untuk diperluaskan pada masa depan.

"Kami menggalakkan syarikat dan institusi Malaysia supaya meluaskan perniagaan ke seberang laut dan mengibarkan bendera Malaysia," kata beliau kepada Bernama.

Dengan pertumbuhan pesat di New York, Maybank memerlukan ruang tambahan untuk memenuhi keperluan perkembangan perniagaannya.

"Walaupun bank terus berada di bangunan yang sama, ia telah berpindah dari tingkat sembilan di mana ia memenuhi hanya separuh daripada ruang ke tingkat 11 dengan memenuhi keseluruhan ruang di situ," kata Abdul Wahid.

Abdul Farid berkata Maybank, yang berkembang pesat sejak pertama kali ditubuhkan di New York pada 1984, merupakan satu daripada tiga bank Asean yang mempunyai lesen berurus niaga di New York.

"Penubuhan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) pada 2015 akan mewujudkan peluang-peluang baharu yang kami mahu terokai. Saya yakin kami akan menjadi bank Asean utama di New York," kata Abdul Farid.

Ruang pejabat yang baharu itu akan membolehkan Maybank berurusan dalam bidang lain yang penting bagi perniagaannya.

Ia telah mengenal pasti sekurang-kurangnya, empat bidang baharu untuk peluasan strategiknya di Amerika Syarikat.

Ini termasuk perbankan transaksi, pengurusan aset, pengagihan pendapatan tetap dan perbankan Islam.

Abdul Farid berkata Kumpulan Maybank yang buat masa ini mengendalikan satu cawangan perbankan borong di New York dan perniagaan broker melalui cabang pelaburannya, Maybank Kim Eng, akan memanfaatkan pemulihan dan kerancakan ekonomi Amerika, dengan itu membuka lebih banyak lagi peluang pada tahun-tahun akan datang.

Abdul Farid berkata perpindahan Maybank ke premis lebih besar menggambarkan potensi urusniaga semakin meningkat dan juga komitmen jangka masa bank kepada operasi di Amerika Syarikat.

"Malahan, ia menunjukkan kepada pelanggan-pelanggan kami di sini dan di seluruh dunia bahawa kami telah meningkatkan kemampuan dan sumber-sumber kami untuk memberi khidmat yang lebih baik di New York," katanya.

Maybank New York memulakan operasi pada 1984 dengan 20 kakitangan dan aset sebanyak US$100 juta. Dalam masa beberapa tahun, ia telah mengembangkan operasinya dan kini mempunyai 32 kakitangan dengan aset hampir mencecah US$1 bilion.

Hari ini, Kumpulan Maybank, termasuk Maybank Kim Eng, mempunyai kira-kira 50 kakitangan di Amerika Syarikat.

Abdul Farid berkata pengambilalihan Kim Eng Securities oleh Maybank pada 2011 telah membolehkan kumpulan itu meluaskan lagi jaringan dan keupayaannya di Amerika Syarikat.

"Dalam masa yang singkat, kami boleh menyediakan perkhidmatan pembrokeran kepada pelanggan kami dan meluaskan lagi capaian di New York serta di San Francisco, di mana Kim Eng mempunyai pejabatnya.

"Melalui Maybank Kim Eng, kami juga berupaya menawarkan kepada pelanggan-pelanggan perkhidmatan kewangan lebih menyeluruh, dipacu oleh penyelesaian khusus untuk pelanggan dengan kepentingan perniagaan dan pelaburan di Amerika yang mahu memanfaatkan jaringan Asia kami yang termasuk kehadiran meluas di semua 10 negara Asean," katanya.

Beliau berkata semasa ekonomi Amerika berkembang semula, kumpulan itu menjangka pertambahan dalam aliran perdagangan AS-Asean. Perdagangan dua hala yang kini bernilai hampir US$200 bilion tahun lalu, dijangka terus berkembang sebaik sahaja Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik dipersetujui.

"Ini akan mewujudkan peluang-peluang kepada kami untuk meneroka bidang pertumbuhan baharu dan hasil, terutama dalam transaksi perbankan, pengurusan aset, perbankan Islam dan pengagihan pendapatan tetap, termasuk sukuk.

"Bersandarkan rangkaian dan kekuatan teras kami dalam perbankan Islam, kami akan memanfaatkan peluang melalui sinergi lebih baik di antara cabang pembrokeran dan perbankan di AS," kata beliau.

Abdul Farid berkata New York penting kepada cita-cita Kumpulan Maybank untuk menjadi bank universal serantau yang menawarkan pengagihan dan akses kepada pelabur-pelabur dolar Amerika.

"Kami yakin kami mempunyai cadangan nilai yang unik kerana kami boleh menghubung dan memberi khidmat kepada pelanggan dari kedua-dua belah rantau Pasifik untuk memenuhi keperluan global mereka dengan mudah.

"Operasi Maybank New York yang luas bukan hanya membolehkan kami memberi khidmat lebih baik kepada pelanggan, malah ia juga menyediakan sumber lebih besar untuk merebut peluang pertumbuhan masa depan.

"Matlamat kami adalah bagi Maybank menjadi sebuah bank Asean terkemuka di Amerika," kata Abdul Farid. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Taufan Haiyan Landa Filipina

Artikel Berikut

Artikel Lain