suria

Malaysia Akan Tubuh Pusat Kecemerlangan Bandar Raya Sebagai Tempat Kediaman Tahun Depan

SINGAPURA: Malaysia akan menubuhkan Pusat Kecemerlangan bagi Bandar Raya Yang Selesa Untuk Didiami tahun depan sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjadikan bandar raya di seluruh negara tempat yang selesa untuk didiami, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Katanya beliau ingin melihat wujudnya sebuah pusat kecemerlangan yang akan membincangkan dan menyentuh tentang isu berkaitan bandar serta cara untuk menjadikan bandar raya di Malaysia tempat yang selesa untuk didiami, di samping mengembalikan semula roh kepada bandar raya.

Katanya kementerian yang beliau terajui menguruskan bandar raya daripada yang sekecil-kecilnya hinggalah kepada bandar raya Kuala Lumpur.

"Selalunya, secara psikologi, apabila kita bercakap tentang bandar raya, orang hanya membicarakan tentang Kuala Lumpur atau Johor Baharu. Kita sering terlupa apa yang berlaku pada bandar raya lebih kecil seperti Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Kuching atau bandar kecil lain.

"Pusat ini akan menjadi sebuah entiti di mana semua pihak, termasuk ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan dan golongan profesional boleh menyumbang idea, menganjurkan seminar dan memikirkan tentang teknologi serta cara baharu yang boleh menjadikan bandar raya lebih kecil sebagai tempat yang lebih selesa untuk didiami," katanya.

Abdul Rahman dalam rangka lawatan pertamya ke republik ini.

Beliau diiringi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura Datuk Husni Zai Yaacob.

Abdul Rahman berkata Singapura mempunyai sebuah kumpulan pemikir yang amat cergas dikenali sebagai 'The Centre of Liveable Cities'. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Taufan Haiyan Landa Filipina

Artikel Berikut

Artikel Lain