suria

Dua Rakyat Jerman Diculik Di Timur Lubnan

BAALBEK (Lubnan): Sekumpulan lelaki bersenjata, pada Jumaat menculik dua warga Jerman di timur Lubnan, di lembah Bekaa dan menuntut wang tebusan untuk mangsa dilepaskan, menurut Pertubuhan Berita Nasional (NNA) rasmi.

Kedua-dua mangsa "dibawa ke lokasi yang tidak diketahui" selepas penculik mereka cuba memaksa biro pemindahan tunai untuk menyerahkan wang ke dalam akaun salah seorang daripada mangsa, menurut NNA.

"Penculik kemudian membuat panggilan ke salah seorang daripada rakan-rakan mereka, menuntut wang tebusan," kata agensi itu.

Bercakap kepada AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, seorang pegawai keselamatan berkata polis menerima maklumat mengenai penculikan itu pada Jumaat.

"Kami mengikuti kes itu. Nampaknya penculikan bukan atas sebab-sebab politik tetapi atas sebab kewangan," katanya.

"Operator kecemasan menerima panggilan daripada seseorang yang mengatakan mereka adalah rakyat Jerman yang telah diculik.

"Kemudian, seorang lelaki Lubnan membuat panggilan menuntut wang tebusan sebanyak 6,000 euro (AS$8,000)," katanya.

Satu lagi sumber polis memberitahu AFP kedua-dua mangsa penculikan memegang dua kerakyatan, Jerman dan Lubnan.

Penculikan itu adalah yang pertama seumpamanya sejak 2011, apabila sekumpulan tujuh penunggang basikal Estonia telah diculik selama empat bulan.

Artikel Berikut

Artikel Lain