suria

Apec Tingkatkan Kawalan Keselamatan Mesra Perniagaan Bagi Barangan Diniagakan

SINGAPURA: Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) mengambil langkah-langkah bagi memastikan ekonomi anggota bersedia untuk melaksanakan secara sepakat kawalan barangan diniagakan di mana penyalahgunaannya boleh mencetuskan risiko keselamatan.

Apec Market Access Group dalam satu kenyataan berkata pegawai perdagangan, badan penguatkuasaan dan pakar sektor swasta mengkaji peraturan dan prosedur pentadbiran yang kritikal bagi mencapai keseimbangan ini, yang dikenali sebagai pengurusan perdagangan strategik, pada bengkel kerja dua hari di Kuala Lumpur.

Bengkel kerja itu diakhiri dengan pembentangan amalan terbaik bagi menyokong pelaksanaannya oleh ekonomi Apec.

Muthafa Yusof, Pengawal Perdagangan Strategik Malaysia berkata pengeluaran barangan seperti teknologi maklumat dan komunikasi, kimia perindustrian, komponen marin, penerbangan dan aeroangkasa merupakan sumber utama pertumbuhan dan pewujudan pekerjaan di rantau Apec tetapi perlu dikawal dengan baik bagi memastikan ia diniagakan untuk tujuan perdagangan sah semata-mata.

Muthafa, yang merasmikan bengkel kerja itu berkata masih terdapat ketaksamaan berkaitan dengan pembangunan dan penggunaan rejim pengurusan perdagangan strategik.

Sementara itu, Pengerusi Apec Market Access Group, Peter Cheah, berkata pengurusan perdagangan strategik melibatkan isu yang kompleks terdiri daripada undang-undang, peraturan dan penguatkuasaan hinggalah kepada pelesenan, capaian industri dan bantuan teknikal.

Beliau berkata meningkatkan kesedaran kepentingan persekitaran perdagangan terjamin yang memudahkan perdagangan dan bagaimana ini boleh dicapai, merupakan satu langkah yang penting. - BERNAMA

Artikel Lain