suria

Tunjuk Perasaan Bantah Rang Undang-Undang Pengampunan Diadakan Di Bangkok Esok

BANGKOK: Parti Demokrat merancang mengadakan bantahan di jalan raya secara besar-besaran di sini Khamis bagi membantah Rang Undang-undang Pengampunan yang memberi pengampunan secara menyeluruh kepada mereka yang terlibat dengan keganasan politik.

Empat daripada anggota jawatankuasa eksekutif parti pembangkang ini meletak jawatan untuk menyertai tunjuk perasaan bagi membantah rang undang-undang itu, yang dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada 2 November.

Bagaimanapun, mereka tetap berperanan sebagai anggota parlimen untuk mengekalkan kekebalan daripada ditangkap.

Empat anggota parlimen berkenaan ialah Issara Somchai, Korn Jatikavanich, Thaworn Sennium dan Siripan Prassajaksatrupai.

Suthep Thaugsaban, anggota parti pembangkang dan bekas timbalan perdana menteri dalam pentadbiran bekas perdana menteri Abhisit Vejjajiva mengadakan sidang akhbar tentang peletakan jawatan anggota jawatankuasa itu di Parlimen di sini, Rabu.

"Kami akan mula mengadakan bantahan pada pukul 6 petang Khamis di kawasan stesen kereta api Samsen (berhampiran ibu pejabat Parti Demokrat); kawasan itu tidak termasuk di bawah Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya.

Bagaimanapun, Issara berkata keputusan itu merupakan keputusan individu, bukan keputusan parti.

"Kerajaan ini menggunakan undi majoritinya di parlimen untuk meluluskan Rang Undang-undang Pengampunan. Oleh itu, kami tidak boleh bergantung pada parlimen lagi. Kami membuat keputusan untuk keluar dan menyertai rakyat untuk membantah rang undang-undang ini," katanya.

Sementara itu, Jen Pol Pracha Promnok, timbalan perdana menteri yang bertanggungjawab bagi keselamatan negara, menafikan kerajaan membuat persiapan untuk meluaskan undang-undang di bawah ISA agar turut meliputi perhimpunan pembangkang, Khamis.

Katanya pihak berkuasa sedang memantau keadaan dengan rapi dan meminta pihak berkenaan mengadakan perhimpunan secara aman berlandaskan keluhuran undang-undang.

Sekiranya rang undang-undang ini diluluskan, maka mereka yang ditahan di penjara kerana terlibat dengan keganasan politik sejak rampasan kuasa tentera pada 19 Sept 2006 untuk mengguling kerajaan pimpinan Thaksin Shinawatra, akan dibebaskan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Maut Ribut Landa Eropah

Artikel Lain