suria

Korea Selatan Pertimbangkan FTA Dengan Malaysia

SEOUL: Korea Selatan sedang mempertimbangkan perkongsian perjanjian kerjasama perdagangan bebas (FTA) dengan Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dengan negara itu.

Young-Moo Kim, Ketua Pengarah untuk Perundingan FTA Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga (MOTIE) Korea Selatan berkata objektif permulaannya ialah agar kerajaan Korea Selatan dapat meningkatkan hubungan dua hala kerajaan-kepada-kerajaan sedia ada antara kedua-dua negara.

"Malaysia mempunyai beberapa industri kukuh dalam bidang-bidang tertentu seperti bio, perkhidmatan, automotif, keluli dan kimia yang menjadikan Malaysia rakan ideal untuk industri Korea.

"Kita tidak perlu mencari sektor-sektor baharu untuk turut serta. Malah, kita hanya perlu mengembangkan sektor sedia ada perdagangan dua hala kita yang ada pada masa ini," kata beliau kepada Bernama di luar acara Minggu Pelaburan Asing 2013 di sini, Rabu.

Beliau berkata kajian bersama antara kedua-dua negara mengenai kemungkinan pelaksanaan FTA baru sahaja siap tahun lepas dan pada masa ini, kerajaan Korea Selatan masih lagi menanti untuk melihat sama ada ia adalah idea yang baik untuk melancarkan perdagangan dua hala berdasarkan satu-dengan-satu.

"Pada masa ini, Malaysia terlalu padat dengan perundingan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) selain daripada benda lain yang sedang berlangsung. Kami (Korea) juga mempunyai perundingan kami sendiri mengenai TPP.

"Pada masa ini, kami sedang menikmati separuh faedah daripada perkongsian Korea-Asean walaupun ia tidak mencukupi. Banyak lagi ruang untuk ditinjau sekiranya kami mahu mempunyai FTA dengan Malaysia. Tetapi buat masa sekarang, berikutan kekurangan sumber dan keutamaan lain, kami perlu mencari masa yang sesuai," tambah beliau.

Sementara itu, Ketua Pengarah MOTIE untuk Dasar Pelaburan Sempadan Bersilang Chang-Kyu Kim berharap Korea dan Malaysia boleh meningkatkan lagi hubungan dua hala dalam industri petroleum, automotif dan petrokimia.

"Malaysia amat sesuai dalam menyediakan bahan mentah dan kami pula memajukan industri. Malaysia mempunyai Petronas, yang begitu terkenal di seluruh dunia sementara kami pula mempunyai industri automotif dan petrokimia yang bagus.

"Jadi, kita boleh adakan projek yang baik antara industri petrokimia Korea dan industri petroleum Malaysia," kata beliau.

Pada peringkat permulaan, Kim berkata kerajaan Korea pada masa ini sedang meninjau kemungkinan menggalakkan industri dan syarikat berkaitan di Malaysia mempunyai projek dua hala dalam industri petroleum dan petrokimia.

"Kita telah mengaturkan mesyuarat dua campur dua antara kerajaan Korea dan sektor swasta Malaysia dan kerajaan Malaysia dengan sektor swasta Korea. Di situ kita boleh timbulkan isu mengenai projek-projek seumpama itu," tambah beliau.

Beliau berkata mesyuarat itu masih berlangsung dan beliau berharap projek itu boleh direalisasikan di masa akan datang.

Minggu Pelaburan Asing 2013 dianjurkan bersama oleh Invest Korea dan Agensi Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan Korea (KOTRA) dan dihoskan oleh MOTIE.

Persidangan tiga hari itu ialah acara tahunan, dianjurkan oleh kerajaan Korea untuk menarik syarikat asing dan mempromosikan industri-industri tertentu.

Industri utama yang menjadi fokus pada persidangan itu ialah sektor berteknologi tinggi (semikonduktor dan paparan), logistik, ekuiti persendirian, modal teroka dan penggabungan dan pengambilalihan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Maut Ribut Landa Eropah

Artikel Lain