suria

PM Britain Rayu Negara Itu Henti Beri Pekerjaan Kepada Imigran Eropah

David Cameron
David Cameron
David Cameron

LONDON: Perdana Menteri Britain, David Cameron menyeru agar negara itu tidak lagi menyerahkan pekerjaan kepada imigran kerana tindakan tersebut telah menjejaskan peluang generasi muda untuk mencari pekerjaan.

Sementara beliau menegaskan yang kerajaannya tidak sama sekali menyalahkan para imigran dari Eropah Timur yang kini membanjiri pasaran kerja Britain, perdana menteri itu pada masa yang sama menegaskan, mereka juga perlu melindungi warganegara mereka sendiri untuk memperolehi pekerjaan.

Beliau memberi amaran yang beribu anak muda lepasan kolej, universiti dan sekolah akan berhadapan dengan pengangguran jika trend masa kini iaitu memberi pekerjaan kepada imigran yang datang dari Eropah Timur berterusan.

Kerajaan pimpinan Cameron telah pun mencadangkan langkah-langkah ke arah itu dengan cuba mengurangkan akses kepada faedah-faedah tertentu yang dinikmati oleh pekerja asing yang merupakan faktor utama mengapa para imigran dari seluruh Eropah membanjiri negara itu untuk mencari pekerjaan.

Namun begitu, beliau turut menarik perhatian dengan berkata, bahawa salah satu sebab mengapa begitu ramai masyarakat luar mudah mendapat pekerjaan di Britain adalah kerana tenaga kerja lokal tidak memiliki skil tertentu, latihan atau kelayakan untuk diambil bekerja.

Angka terbaru menunjukkan, daripada 29 juta tenaga kerja di Britain sekarang, 4.4 juta dilahirkan di luar negara itu.

Ini bermakna, 15 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja Britain adalah warga asing iaitu bertambah sebanyak sembilan peratus berbanding 10 tahun yang lalu.

Menurut Cameron, pekerja asing tidak boleh dipersalahkan seratus peratus di atas fenomena ini untuk memenuhi permintaan di kilang-kilang kerana kolej serta sekolah di Britain tidak melahirkan tenaga kerja dengan skil tertentu untuk memenuhi permintaan pasaran.

Bercakap dalam satu majlis di tapak kilang Mini di Oxford, Cameron berkata: "Anda boleh pergi ke mana-mana kilang di seluruh pelusuk negara ini dan dapati separuh daripada tenaga kerja mereka datang dari Poland, Lithuania atau Latvia.

"Kita tidak boleh salahkan mereka kerana mereka mahukan kerja dan mereka mencari kerja itu dan mereka memiliki skil-skil tertentu yang mana tenaga muda kita tidak miliki."

Oleh yang demikian katanya, sebagai sebuah negara, apa yang mereka perlu lakukan ialah berkata "tidak" kepada lambakan pekerja asing dan melakukan rombakan kepada sistem pendidikan negara.

Ini tambahnya, termasuklah melakukan rombakan ke atas sistem negara berkebajikan supaya sistem ini tidak lagi "membayar wang kepada mereka yang tidak bekerja."

Sistem ini tegas Cameron menjadikan warganegara Britain malas mencari pekerjaan kerana negara membayar mereka untuk 'menjadi penganggur'.

Sementara itu, antara April hingga Jun tahun ini, sejumlah 683,000 warga dari serata Eropah membanjiri Britain untuk bekerja dan mereka datang dari Republik Czech, Estonia, Hungari, Latvia, Lithuania, Poland, Republik Slovak dan Slovenia.

Jumlah ini meningkat secara drastik dari 44,000 orang pekerja asing pada tahun 2003, iaitu tahun di mana kelapan-lapan buah negara itu menyertai Kesatuan Eropah (EU).

Mulai Januari tahun depan, warganegara Romania dan Bulgaria pula akan dibenarkan mencari pekerjaan di negara-negara EU tetapi kini statistik menunjukkan tidak kurang dari 100 warga Romania dan Bulgaria mendapat pekerjaan di Britain.

Jabatan Statistik Nasional mencatatkan jumlah pekerja Romania dan Bulgaria di Britain kini telah mencecah 141,000 orang.

Jumlah ini buat pertama kalinya mengatasi jumlah warga Australia dan New Zealand yang bekerja di Britain sedangkan kedua-dua buah negara itu lebih dekat dengan Britain sama ada dari segi budaya, bangsa, warisan dan bahasa.

Artikel Berikut

65 Terbunuh Serangan Di Iraq

Artikel Lain