suria

Britain, Perancis Dilanda Ribut Terburuk Dekad Ini

LONDON: Britain, pada Isnin berdepan gangguan perjalanan dan kira-kira 75,000 rumah di utara Perancis telah terputus bekalan elektrik akibat dilanda ribut yang paling teruk dekad ini, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang dihanyutkan ke laut.

Pejabat Met, Pusat Cuaca Britain memberikan amaran pokok tumbang, kerosakan bangunan dan gangguan bekalan kuasa serta pengangkutan ekoran ribut melanda pantai barat daya England lewat Ahad.

Antara 20 dan 40 milimeter (0.8-1.6 inci) hujan diramalkan akan turun dalam masa enam hingga sembilan jam apabila ribut dikesan menghala ke arah timur di seluruh Britain, dengan kemungkinan berlakunya banjir setempat.

Tiupan angin kencang sehingga 99 batu (159 kilometer) sejam berlaku di selatan England dan selatan Wales pada Isnin, kata peramal.

Pejabat Met mengeluarkan amaran angin peringkat ketiga tertinggi dalam skala empat di rantau ini dan menggesa orang ramai menangguhkan perjalanan pagi Isnin untuk bekerja bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk dalam cuaca buruk itu.

Di utara Perancis ribut menyebabkan kira-kira 75,000 rumah terputus bekalan elektrik pada awal Isnin, menurut rangkaian pengedaran ERDF, selepas tiupan angin kencang mencapai 139 kilometer (86 batu) di beberapa kawasan.

Keadaan buruk menyebabkan penyelamat terpaksa menggantung usaha mencari seorang budak lelaki berusia 14 tahun yang telah dihanyutkan ke laut dari pantai di East Sussex, pantai selatan England.

London kelihatan sudah bersedia untuk menghadapi bencana selepas syarikat perkhidmatan kereta api, First Capital Connect, C2C, Greater Anglia, Southern dan Gatwick Express berkata mereka tidak akan menjalankan perkhidmatan pada Isnin sehingga ia selamat untuk berbuat demikian.

Robin Gisby daripada operator talian Network Rail memberi amaran kepada penumpang bahawa pihaknya menjangkakan gangguan teruk.

"Jika kita berdepan ini pada waktu pagi, memulihkan perkhidmatan pada waktu petang dan mampu memulakan perkhidmatan yang baik pada pagi Selasa, saya akan cukup gembira," katanya.

Lapangan terbang utama juga memberi amaran tentang gangguan penerbangan hab Heathrow London menjangkakan kira-kira 30 pembatalan.

Artikel Berikut

65 Terbunuh Serangan Di Iraq

Artikel Lain