suria

Undang-Undang Arab Saudi Diambil Kira Untuk Lantik Mutawif Haji - Jamil Khir

PUTRAJAYA: Undang-undang Kerajaan Arab Saudi akan diambil kira sebelum cadangan menggunakan khidmat pelajar atau rakyat Malaysia di negara itu sebagai petugas TH, pada musim haji tahun depan dapat dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata undang-undang Kerajaan Arab Saudi memerlukan kebenaran bagi semua jenis pekerjaan sambilan ketika musim haji.

"Bagi pelajar Malaysia, kita juga perlu melihat syarat visa mereka dan kebenaran daripada pihak universiti. Kita harus juga mengambil kira jadual kuliah mereka," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Pengerusi TH Datuk Abdul Azeez Rahim berkata cadangan itu jika dipersetujui Kerajaan Arab Saudi akan mengurangkan bilangan petugas TH dari 1,800 orang kepada 1,000 orang dan membolehkan kuota yang kosong itu diisi oleh jemaah haji.

Menurut Jamil Khir, pada masa ini pekerja sambilan TH pada musim haji terdiri daripada pemastautin di Makkah berketurunan Malaysia, Indonesia dan Pattani (Asia Tenggara).

Sementara itu beliau berkata kerajaan sentiasa berbincang dengan Kerajaan Arab Saudi mengenai kira-kira 1.3 juta umat Islam di Malaysia yang sudah berdaftar, tetapi masih menunggu giliran untuk menunaikan haji. "TH sentiasa akur dengan peraturan Arab Saudi (yang mengekalkan pengurangan kuota sebanyak 20 peratus pada musim haji selama dua tahun) dan melihat peraturan itu munasabah untuk kebaikan semua pihak," katanya.

Jamil Khir berkata antara penambahbaikan operasi haji kali ini termasuk permohonan dam dan korban yang boleh dibayar di tanah air dan penerbangan sulung secara terus jemaah haji dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah.

Selain itu, sistem online pertukaran penerbangan pulang jemaah haji di pusat perkhidmatan maktab turut diperluaskan selain penggunaan teknologi maklumat untuk membantu menguruskan perjalanan jemaah haji, kata beliau.

Menurutnya kumpulan pertama jemaah haji Malaysia akan pulang ke tanah air pada 21 Oktober manakala kumpulan jemaah terakhir dijadual berlepas pada 17 November. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain