suria

Pihak Berkuasa Indonesia Tahan Bekas Menteri Disyaki Terbabit Rasuah

JAKARTA: Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia pada Khamis menahan bekas Menteri Belia dan Sukan Andi Alifian Mallarangeng kerana disyaki terbabit dalam kes rasuah projek sukan di Bukit Hambalang, Bogor, Jawa Barat.

Andi yang disyaki terbabit rasuah sejak hampir setahun lepas, ditahan setelah disoal siasat selama enam jam oleh pegawai penyiasat KPK.

"Saya menerima penahanan ini dan berharap kes dapat diselesaikan dengan cepat," katanya kepada wakil media sebelum dibawa ke penjara KPK.

Penangkapan Andi itu menyusul penahanan Ketua Mahkamah Perlembagaan Indonesia, Akil Mochtar dua minggu lepas setelah disyaki menerima rasuah berhubung kes pertikaian pilihan raya umum pegawai daerah Gunung Mas, Kalimantan Tengah.

Sebelum penangkapannya hari ini, KPK telah menyoal siasat Andi sebanyak tiga kali namun tidak menahannya atas dasar belum ada keperluan untuk berbuat demikian.

Dalam kes projek pembangunan Pusat Pendidikan, Latihan dan Sekolah Sukan Nasional, Bukit Hambalang itu, Andi disyaki terlibat melakukan rasuah sehingga menyebabkan kerugian besar kepada negara.

Badan Pemeriksa Kewangan (BPK) Indonesia mentaksirkan kerugian negara dalam projek itu sebanyak US$40.8 juta (RM128.5 juta).

Andi merupakan Menteri Belia dan Sukan Indonesia dalam kabinet Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, namun beliau melepaskan jawatan itu selepas disyaki terbabit rasuah.

Serentak itu juga beliau meletak jawatan sebagai setiausaha Majlis Tertinggi Parti Demokrat pimpinan Yudhyonono.

Andi juga pernah menjadi jurucakap kepada Presiden Yudhoyono selama lima tahun. - BERNAMA

Artikel Lain