suria

Malaysia Mahu Negara Anggota PBB Lebih Tekun Selesaikan Konflik

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) meningkatkan usaha untuk mencari penyelesaian konkrit bagi menamatkan konflik keganasan dan mewujudkan persekitaran yang sesuai bagi pelaksanaan inisiatif pembangunan negara serta keamanan.

Wakil Tetap Malaysia di PBB Datuk Hussein Hanif berkata pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial hanya boleh berkembang dalam suasana aman, selamat dan stabil.

"Malangnya, masyarakat antarabangsa terus memerhati sahaja kesan buruk daripada konflik dan ketidakstabilan yang melanda penduduk pelbagai negara, termasuk Syria, Republik Demokratik Congo, Somalia dan Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT)," katanya di sidang ke-68 Perhimpunan Agung PBB di New York pada Rabu.

Teks ucapan beliau tentang "Agenda Item 111: Report of the Secretary General on the Work of the Organisation" dihantar kepada Bernama di sini, Khamis.

Hussein berkata Malaysia mengulangi saranannya agar satu proses politik bersifat inklusif diketuai Syria dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah di Syria.

"Kami menentang tindakan unileteral digunakan untuk menyelesaikan sesuatu konflik dan menyokong usaha mencari penyelesaian melalui dialog dan kerjasama secara telus.

"Kami menyertai masyarakat antarabangsa mengutuk sekeras-kerasnya penggunaan senjata kimia dan menyeru para pemegang kepentingan supaya meningkatkan usaha untuk meneroka semua opsyen diplomatik yang ada bagi mewujudkan keamanan di bawah panji-panji PBB," katanya.

Hussein berkata Malaysia kecewa kerana hampir setahun sudah berlalu, namun penyelesaian bagi masalah penduduk di Wilayah Palestin Yang Diduduki, belum juga dicapai.

Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun, rakyat Palestin terus menyaksikan tanah mereka dirampas untuk dijadikan penempatan haram. "Mereka terus melihat keluarga mereka, termasuk anak-anak mereka, hilang tempat berteduh dan dipaksa meninggalkan kampung halaman masing-masing," katanya.

Hussein berkata nasib rakyat Palestin perlu diberi keutamaan dan beliau berharap rundingan terus yang diadakan semula baru-baru ini akan merintis jalan kepada penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaya maju berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Barat sebagai ibu negaranya.

Katanya Malaysia berpegang teguh pada prinsip penyelesaian konflik secara aman dan memainkan peranan utama dalam menyelesaikan sengketa serta pertikaian di rantaunya secara aman.

"Malaysia percaya prinsip kesederhanaan merupakan pendekatan penting yang patut diguna pakai dalam melaksanakan usaha damai," katanya.

Beliau berkata amalan kesederhanaan mampu menyumbang ke arah merapatkan jurang perbezaan, mengadakan dialog, menyelesaikan konflik, memelihara pembangunan dan kestabilan serta mewujudkan hubungan harmoni.

"Kesederhanaan menuntut sifat saling menghormati, toleransi, persefahaman, dialog, sikap bertolak ansur dan keadilan. Oleh itu, kami percaya kesederhanaan boleh menjadi alat yang amat bernilai dalam menyelesaikan konflik, mewujudkan penyatuan nasional, membina keamanan dan melaksanakan perkongsian kuasa," katanya.

Hussein turut mengulangi seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Mesyuarat Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung PBB pada 26 Sept agar sebuah dunia yang bebas daripada senjata nuklear, diwujudkan.

"Kelesuan yang ada ketika ini perlu diatasi dan kami ingin mengulangi syor perdana menetri kami agar perspektif baharu diambil kira dalam melaksanakan pelucutan senjata, termasuk pandangan para ahli akademik, golongan intelek, kumpulan pemikir dan pertubuhan bukan kerajaan," katanya.

Beliau berkata Malaysia gembira dengan komitmen berterusan setiausaha agung PBB untuk memastikan badan dunia itu mampu berfungsi dengan baik walaupun kekurangan sumber.

"Kami amat berharap sesi Perhimpunan Agung ini akan membolehkan kita mencapai kemajuan dalam kerjasama kita untuk menangani pelbagai masalah serta cabaran yang kita hadapi. Kami sentiasa memberi komitmen padu dalam hal ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain