suria

Hati-Hati Lantik Badal Haji - Jamil

MAKKAH: Umat Islam di tanah air dinasihati supaya tidak sewenang-wenangnya melantik individu atau ejen untuk melaksana badal haji.

Katanya terdapat banyak individu yang menawarkan perkhidmatan badal haji namun dikhuatiri ibadah itu tidak dapat dilaksanakan atas pelbagai masalah termasuk terkandas di lapangan terbang kerana masalah visa haji.

"Menurut hukum, seorang individu hanya boleh melakukan badal haji untuk seorang sahaja dan jika dia menerima 10 badal haji, maka hendaklah kita bertanya siapakah yang melaksanakan badal haji untuk sembilan orang lagi itu dan adakah mereka itu layak untuk melakukan badal haji?.

"Tabung Haji sendiri mengalami masalah untuk melantik pelaksana badal haji bagi 2,500 orang kerana setelah melakukan proses temuduga, kita dapati ada antara mereka yang tidak layak untuk melakukan badal haji kerana tidak mempunyai ilmu yang cukup," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata Tabung Haji juga akan melaksanakan badal haji musim ini kepada tujuh anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu, Sabah, pada Mac lepas.

Mengenai kenyataan kerajaan Arab Saudi yang mungkin akan mengekalkan pengurangan kuota sebanyak 20 peratus pada musim haji tahun depan, Jamil Khir berkata Malaysia terpaksa akur dengan kuota yang ditetapkan itu walaupun akan membuat rayuan tambahan kuota.

Katanya setakat ini sebanyak 1.3 juta umat Islam di Malaysia telah berdaftar dan menunggu giliran untuk menunaikan haji. "Jika berdasarkan kepada kuota sebanyak 22,300 orang jemaah setiap tahun maka ia mengambil masa selama 50 tahun untuk menunggu giliran," katanya.

Beliau berkata disebabkan itu TH memberi keutamaan kepada warga emas berumur lebih 75 tahun dan menunaikan haji buat kali pertama. "Tidak semua daripada mereka akan berpeluang secara serentak kerana terdapat 14,000 individu berumur lebih 75 tahun telahpun mendaftar untuk menunaikan haji dan kita akan memilih yang pertama kali membuat haji," kata beliau. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain