suria

ISA Dikuatkuasakan Di Bangkok Menjelang Perhimpunan Anti Kerajaan

BANGKOK: Kerajaan Thai menguatkuasakan perintah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di beberapa tempat di tiga daerah di Bangkok berkuat kuasa hari ini sehingga 18 Oktober menjelang perhimpunan anti kerajaan yang dirancang kumpulan Tentera Rakyat Menentang Rejim Thaksin.

ISA dikuatkuasakan memandangkan perhimpunan itu dijangka berlarutan yang akan menjejaskan kehidupan penduduk berhampiran Rumah Kerajaan dan Parlimen, kata Ketua Majlis Keselamatan Negara, Paradorn Pattanatabut.

"Kami sudah pun menggunakan undang-undang biasa untuk menangani mereka bagaimanapun mereka masih belum beredar, jadi undang-undang khas diperlukan," katanya.

Perintah ISA akan dikuatkuasakan di lapan subdaerah dalam lingkungan daerah Pomprabsattupai, Dusit dan Pranakorn, kesemuanya terletak berhampiran Rumah Kerajaan dan Parlimen.

Kumpulan itu mengadakan perhimpunan di hadapan Rumah Kerajaan di sini sejak Isnin, selepas berpindah dari Lumpini Park tempat mereka mengadakan perhimpunan bantahan sejak 4 Ogos.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat separa Kabinet dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Pol Gen Pracha Promnok di sini, Rabu.

Perhimpunan itu menghalang sebahagian jalan di hadapan Rumah Kerajaan, mengakibatkan kesesakan teruk di kawasan berkenaan dan 15 kompeni polis dengan 1,250 pegawai ditugaskan untuk mengawal Rumah Kerajaan serta kawasan berhampiran.

Paradorn berkata Ketua Polis Negara Adul Saengsingkaew dilantik sebagai pengarah operasi dan beliau (Adul) akan mempertimbangkan langkah yang perlu diambil selain menghubungi pemimpin utama penunjuk perasaan itu.

Beliau berkata perpindahan oleh penunjuk perasaan dari Lumpini Park ke hadapan Rumah Kerajaan mendatangkan masalah kepada pegawai kerajaan dan Parlimen yang hendak ke tempat kerja.

Belliau turut menegaskan terdapat tetamu kerajaan yang akan melawat Thailand dalam minggu ini selain Perdana Menteri China Li Keqiang, yang dijadual melakukan lawatan rasmi pertama ke Thailand dari 11-13 Okt, selepas menjawat jawatan itu Mac lepas.

Perhimpunan antikerajaan itu bagi membantah langkah kerajaan untuk mengemukakan pindaan piagam yang diluluskan anggota Parlimen pada 28 Sept, bagi mendapat perkenan diraja.

Mereka juga terus menyerang Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Yingluck Shinawatra berhubung prestasi kerajaan.

Laksamana Bersara Chai Suwannaphap, seorang daripada pemimpin utama kumpulan Tentera Rakyat Menentang Rejim Thaksin, berkata anggotanya akan terus mengadakan perhimpunan disebabkan perdana menteri tidak mendengar bantahan daripada orang awam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain