suria

Taufan Fitow Sebabkan 5 Maut, 4 Hilang Di Timur China

BEIJING: Taufan Fitow yang melanda Wilayah Zhejiang di timur China sejak pukul 1 pagi Isnin, meragut lima nyawa dan menyebabkan empat orang hilang serta menjejaskan kehidupan lebih tiga juta penduduk.

Daripada jumlah mangsa yang terbunuh, tiga menemui ajal akibat terkena kejutan elektrik di Bandar Raya Ruian, seorang diterbangkan angin dari bukit pada Ahad malam dan dua lagi tertimbus dalam sebuah kilang yang ranap.

Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan bahawa empat mangsa yang dilaporkan hilang terdiri daripada dua pekerja pelabuhan dan dua nelayan.

Katanya, setakat pukul 6 pagi Isnin, lebih tiga juta orang di lapan bandar raya di Zhejiang terjejas dalam kejadian yang mengakibatkan kerugian ekonomi berjumlah 2.28 bilion yuan (kira-kira AS$160 juta) itu.

Taufan itu juga menyebabkan bekalan tenaga elektrik di wilayah Fujian dan Zhejiang terputus. Di wilayah Fujian, perjalanan 56 kereta api laju dan 20 penerbangan terpaksa dibatalkan, manakala di wilayah Zhejiang, sekurang-kurangnya 59 perkhidmatan kereta api laju terpaksa digantung.

Lapangan Terbang Antarabangsa Hangzhou membatalkan 22 penerbangan pada Isnin, manakala Lapangan Terbang Wenzhou, sebuah lagi lapangan terbang utama di Zhejiang, membatalkan 27 penerbangan pada Ahad dan sehingga pukul 10 pagi Isnin, belum menyambung kembali operasinya.

Sebahagian daripada lebuh raya yang menghubungkan Ningbo, Taizhou dan Wenzhou, juga ditutup.

Sementara itu, Xinhua juga melaporkan perkhidmatan 356 koc ke Bandar Raya Wenzhou dan Fujian dibatalkan pada Isnin.

Biro pelancongan wilayah pula berkata sehingga Isnin, kira-kira 100,000 pelawat di Zhejiang dipindahkan, manakala beberapa tempat tumpuan pelancong di wilayah itu ditutup.

Pusat Meteorologi Kebangsaan berkata, Taufan Fitow mengakibatkan tanah runtuh di Fujian, yang terletak bersebelahan dengan Zhejiang pada awal Isnin, dengan angin bertiup hingga selaju 151km sejam.

Ini merupakan kali ke-23 China dilanda taufan pada tahun ini.

Di Fujian, kira-kira 176,900 orang dipindahkan sehingga pukul 10 pagi Isnin.

Kerugian langsung ekonomi akibat bencana alam ini dianggarkan berjumlah 19.06 bilion yuan.

Pejabat kawalan banjir Zhejiang berkata, Taufan Fitow dan Taufan Danas yang bakal melanda akan terus menjejaskan wilayah berkenaan, manakala lebih banyak hujan ribut diramal berlaku. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain