suria

Sidang PBB: Obama, Rowhani Bakal Curi Tumpuan

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan rakan sejawatan yang baru dari Iran, Hassan Rowhani bersaing bagi mencuri tumpuan apabila pemimpin dunia itu mula berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada Selasa.

Ketika perang di Syria dijangka mendominasi perbincangan, semua mata akan tertumpu kepada Obama dan Rowhani sama ada dua pemimpin ini akan berjabat tangan atau wujud perkembangan baru membabitkan dua negara yang sering bertelingkah ini.

Obama dan Rowhani bagaimanapun tidak akan berada di dewan perhimpunan pada masa yang sama.

Obama akan menjadi pemimpin kedua menyampaikan ucapan di podium, disusuli lebih 130 raja, ketua negara dan pemimpin kerajaan yang berkumpul di ibu pejabat PBB sepanjang seminggu ini untuk menyampaikan ucapan dan dialog.

Rowhani, yang dipilih pada pilihan raya presiden Iran Jun lalu, sebelum ini memberikan isyarat bahawa ingin mengadakan semula hubungan baik dengan Barat meskipun berdepan konflik isu nuklear, akan menyampaikan ucapannya beberapa jam selepas Obama.

Bagaimanapun, Obama dan Rowhani dijangka bertemu ketika dua-duanya hadir dalam majlis makan tengah hari untuk pemimpin dunia yang dihoskan oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon.

Laporan sebelum ini menyebut Rumah Putih tidak menolak kemungkinan Obama dan Rowhani akan berbincang dengan Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif sudah bersetuju untuk bertemu rakan sejawatnya, John Kerry pada Khamis ini.

Hubungan peringkat tertinggi antara pemimpin Iran dan pegawai AS menjadi renggang sejak AS memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada 1980 selepas berlakunya Revolusi Iran. AFP

Artikel Lain