suria

Rolls-Royce Trent 1000 Upayakan Penerbangan Pertama 787-9 Dreamliner Boeing

SINGAPURA: Enjin Rolls-Royce Trent 1000 telah menjadi pengupaya kejayaan penerbangan percubaan pertama Boeing 787-9, versi kedua kumpulan pesawat 787 Dreamliner Boeing.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Rolls-Royce berkata pesawat itu berlepas dari Seattle, AS pada pukul 11.02 pagi dan kembali pada pukul 4.18 petang, waktu tempatan, Selasa.

Menurut Rolls-Royce, ini merupakan satu lagi pencapaian 'pertama' bagi Trent 1000, yang mengupayakan penerbangan percubaan pertama 787-8 pada Disember 2009 dan penerbangan permulaan pesawat itu dalam perkhidmatan pada Oktober 2011.

Ia berkata enjin itu akan juga menggerakkan penerbangan permulaan 787-9 dalam perkhidmatan pada 2014, dengan Air New Zealand.

Pengarah Program Trent 1000 Rolls-Royce, John Griffiths, berkata syarikat itu merakamkan ucapan tahniah kepada Boeing kerana peristiwa penting terbarunya dalam sejarah 787 Dreamliner dan menunggu-nunggu untuk membantu dalam program ujian penerbangan menjelang kemasukan 787-9 dalam perkhidmatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain