suria

Lelaki Sembunyikan Tiga Remaja Perempuan Di Bilik Bawah Tanah Rumahnya Selama 11 Tahun Mati Gantung Diri

WASHINGTON DC: Bekas pemandu bas sekolah yang dihukum penjara seumur hidup kerana menyembunyikan tiga remaja perempuan di bilik bawah tanah rumahnya selama bertahun-tahun sehingga melahirkan anak telah ditemui mati tergantung di dalam bilik tahanannya.

Ariel Castro telah ditemui mati tergantung di bilik sel tahanannya pada lewat Selasa, demikian menurut Jabatan Hukuman Ohio dalam satu kenyataan pada Rabu.

"Pesalah ditempatkan di dalam sebuah bilik tanpa kongsi dengan rondaan di buat setiap setengah jam. Para pengawal kemudiannya telah menemuinya dalam keadaan tergantung dan kakitangan perubatan penjara kemudiannya cuba memberi bantuan pernafasan kepadanya tetapi gagal menyelamatkannya," kata kenyataan itu lagi.

Castro telah disahkan meninggal dunia pada jam 10:52 malam.

Kes Castro telah menggemparkan seluruh Amerika pada ketika ketiga-tiga ahli keluarga remaja yang dikurungnya itu telah berputus asa dan beranggapan kesemua mangsa telah meninggal dunia.

Mereka telah diculik secara berasingan di antara tahun 2002 hingga 2004.

Ketiga-tiga mangsa itu ialah Amanda Berry, kini berusia 27 tahun; Gina DeJesus, 23 dan Michelle Knight, 32.

Mereka berusia antara 14 hingga 20 tahun ketika Castro menculik mereka di tepi jalan dan kemudiannya mengurung mereka di dalam bilik bawah tanah selama lebih 10 tahun.

Perbuatan Castro terbongkar apabila salah seorang daripada mangsa itu, Amanda berjaya meloloskan diri keluar dari bilik kurungan pada 6 Mei lalu dan menjerit meminta tolong jiran-jiran.

Sepanjang perbicaraan kes Castro, mahkamah telah diberitahu bagaimana kesemua mangsa tersebut dirogol, dipukul, diikat dan dibiarkan dalam keadaan yang tidak sempurna sepanjang lebih 10 tahun dikurung di bilik bawah rumah.

Amanda kemudiannya melahirkan seorang anak perempuan selepas dirogol oleh Castro.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup atau 1,000 tahun.

Castro ketika mempertahankan dirinya dalam perbicaraan itu mendakwa yang dia bukanlah berhati syaitan tetapi sengsara daripada ketagihan seks.

Di sebalik mengaku bersalah ke atas 977 dakwaan yang dibacakan ke atasnya, antara lain mendera sehingga mangsa-mangsanya keguguran janin beberapa kali, Castro tetap bertegas yang dia bukanlah seorang yang kejam mahupun ganas.

Dia hanya mengaku bersalah selepas pihak pendakwa bersetuju untuk meringankan permintaan hukuman daripada hukuman mati kepada penjara seumur hidup.

Michael Russo, hakim yang mengadili kes ini menyifatkan jenayah dilakukan oleh Castro sebagai sesuatu yang tidak dapat digambarkan dengan perkataan.

Michelle Knight, salah seorang mangsa Castro yang diculik ketika dia berusia 20 tahun berkata "Saya telah menghabiskan masa selama 11 tahun di dalam neraka. Tetapi sekarang dia (Castro) baru bermula."

Artikel Berikut

Artikel Lain