suria

Seorang Maut Dalam Dua Letupan Bom Di Selatan Thailand

NARATHIWAT: Seorang pegawai skuad pemusnah bom terkorban dan berbelas yang lain cedera dalam dua kejadian letupan bom di selatan Thailand pada Selasa dan malam Isnin.

Pegawai unit pemusnah bom itu maut dalam kejadian 9 pagi Selasa apabila apabila sebutir bom diletupkan puak pemisah semasa beliau dan anggota keselamatan lain menyiasat kawasan Ketua Pejabat Daerah Sungai Padi Sayang Chanachaiwong ditembak pada 9 malam tadi.

Letupan bom itu turut menyebabkan lapan pegawai yang sedang bertugas serta seorang awam yang berada di tempat kejadian cedera.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat Mej Jen Pol Vichai Kasemwong berkata bom buatan sendiri seberat tujuh kilogram diletak di sebatang pokok di Kampung Air Batu, Sungai Padi, Narathiwat dan diletupkan menggunakan telefon bimbit.

Sementara itu dalam kejadian di Pattani, seorang anggota Rela dan lima orang awam termasuk seorang remaja 13 tahun cedera apabila sebutir bom meletup di Kampung Muangtia, daerah Maelan, pada 9.21 malam Selasa.

Letupan yang diaktifkan dengan telefon bimbit itu berlaku ketika kesemua mereka sedang memadam api tayar yang dibakar di jalan raya, kata Ketua Polis Daerah Maelan Kol Pol Phitak Uthaitham. - BERNAMA

Artikel Lain