suria

Kedutaan Besar Malaysia, Malaysia Hall Tumpuan Rakyat Malaysia Sambut Aidilfitri

JAKARTA: Rakyat Malaysia di perantauan di sini tidak ketinggalan dapat merasai suasana hari raya seperti di tanah air pada majlis jamuan Aidilfitri di Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan dan di Malaysia Hall, Jakarta Pusat.

Acara dimulai dengan takbir raya dan disusuli solat sunat Aidilfitri pada 7.30 pagi di lobi utama Kedutaan Besar Malaysia yang disertai pegawai dan kakitangan kedutaan, rakyat Malaysia yang bekerja di sini serta pelajar Malaysia.

Solat sunat Aidilfitri diimamkan Atase Agama Abang Zainal Abidin Abang Ariffin yang juga bertindak sebagai khatib.

Jamuan Hari Raya Aidilfitri Kedutaan Besar Malaysia Jakarta di Dewan Serbaguna kedutaan besar itu menghidangkan pelbagai juadah Malaysia seperti ketupat, lemang, rendang, sate, nasi beriani serta kuih-muih.

Rakyat Malaysia berbilang kaum termasuk pelajar Malaysia yang kebanyakannya sedang menuntut dalam jurusan perubatan di beberapa buah universiti di sini, turut menghadiri jamuan itu.

Pada sebelah petang, Pengarah Education Malaysia (EM) Indonesia Prof Madya Dr Juzhar Jusoh menjadi tuan rumah kepada Jamuan Hari Raya di Malaysia Hall.

Kebanyakan pelajar Malaysia menyambut Aidilfitri di sini kerana tidak dapat pulang ke Malaysia untuk bersama keluarga kerana sedang menjalani latihan klinikal di hospital-hospital di Jakarta dan kawasan sekitarnya.

Sementara itu di peringkat nasional, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dan Ibu Negara Ani Yudhoyono bersama Naib Presiden Boediono dan Ibu Herawati Boediono menyertai kira-kira 200,000 umat Islam di Jakarta menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Istiqlal, masjid terbesar di Asia Tenggara.

Sebagaimana tradisi pada setiap tahun, Susilo hari ini menerima para tetamu pada majlis rumah terbuka di Istana Negara, kediaman rasmi presiden.

Beliau dan Ibu Ani meraikan para tetamu daripada golongan orang kenamaan dan pembesar negara serta tetamu asing pada sebelah pagi dan disusuli dengan acara untuk para tetamu daripada golongan masyarakat umum mulai 3.30 petang. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain