suria

PM Thailand Tolak Khabar Angin Mengenai Penculikan

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra menolak khabar angin tentang plot oleh penunjuk perasaan anti-pengampunan untuk menculik beliau.

Yingluck berkata beliau tidak percaya bahawa penunjuk perasaan merancang untuk menangkap beliau dan akan berulang-alik seperti biasa dari rumahnya ke pejabat di Rumah kerajaan.

Bercakap kepada pemberita di sini Selasa, Yingluck turut menegaskan bahawa beliau akan menghadiri sidang Parlimen pada Rabu.

Beliau juga menekankan perlunya pasukan keselamatan supaya bersabar apabila berurusan dengan rakyat dan pada masa sama, meminta kerjasama orang ramai agar tidak pergi ke Parlimen tanpa tujuan, Rumah Kerajaan atau ke kawasan-kawasan di mana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikuatkuasakan.

Melahirkan kebimbangan mengenai penglibatan 'tangan ketiga' dalam bantahan berterusan terhadap Rang Undang-undang Pengampunan yang akan dibentangkan di Parlimen pada Rabu, beliau berkata penunjuk perasaan perlu menjalankan protes aman mengikut kedaulatan undang-undang.

"Saya mahu semua orang menghormati undang-undang, demokrasi, dan menggunakan hak di Parlimen kerana ia merupakan platform yang betul untuk menyelesaikan masalah ini," katanya menujukan mesej beliau itu kepada pembangkang, Parti Demokrat.

Sementara itu, jurucakap Tentera Rakyat menentang Thaksin, Taikorn Ponsuwarn berkata perhimpunan bantahan akan dipertingkatkan. Beliau menyeru penyokong untuk berkumpul di Lumpini Park pada pukul 9 pagi Rabu, namun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai rancangan tersebut.

Bimbang terhadap kesan protes, Gabenor Bangkok Sukhumbhand Paribatra berkata sembilan sekolah di dalam kawasan penguatkuasaan ISA akan ditutup selama tiga hari bermula pada Selasa.

Ini disebabkan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak, katanya.

ISA, yang memberikan pihak berkuasa kuasa yang luas, dikuatkuasakan di tiga daerah di Bangkok - Dusit, Phra Nakhon dan Pom Prab Satruphai. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain