suria

Kelemahan Rupee Jejas Pelancongan Ke Luar Di India

NEW DELHI: Pelancong India terpaksa melupakan rancangan perjalanan luar negara mereka, di celah-celah rupee yang semakin lemah, kata Persatuan Dewan Perdagangan dan Industri India (ASSOCHAM).

Perjalanan keluar pelancong India telah mencatatkan kemerosotan ketara kepada 15-20 peratus pada dua bulan lepas berikutan rupee yang merosot, katanya.

Mata wang itu menyusut hampir 10 peratus pada beberapa bulan lepas untuk berlegar pada Rs60 setiap dolar AS dan dijangka merosot kepada paras Rs61-Rs62.

"Mereka tidak hanya mengurangkan hari percutian mereka, tetap juga memilih untuk bercuti di dalam negara," kata ketua setiausaha D.S Rawat ketika mengumumkan penemuan dalam kertas kerja bertajuk "Rupee Yang Lemah Menjadikan Perjalanan Luar Negara Terlalu Mahal Bagi Rakyat India".

Tahun lepas, kira-kira 15 juta rakyat India pergi ke luar negara atas urusan pekerjaan dan percutian, satu peningkatan 10 peratus sepanjang tahun lepas.

Sepanjang tiga bulan lepas, kos pelancongan dan penginapan telah meningkat kira-kira 20 ke 25 peratus, katanya.

Selain faktor Rupee, kos penerbangan yang lebih tinggi juga menyebabkan mereka menghindari percutian luar negara, kata kerja itu.

Tahun lepas, India menerima 6.6 juta pelancong asing berbanding 6.3 juta pada 2011. - BERNAMA

Artikel Lain