suria

Pembocor Maklumat Rahsia AS, Edward Snowden Kini Menuju Ke Ecuador

LONDON: Juruteknik komputer Jabatan Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS) yang kini menjadi pelarian politik, Edward Snowden telah meninggalkan Hong Kong pada Sabtu.

Beliau yang kini secara rasminya dikehendaki oleh kerajaan AS kerana membocorkan rahsia pengintipan jabatan di mana dia bekerja secara kontrak dilaporkan menuju ke Rusia ditemani oleh teman wanita pemilik WikiLeaks, Julian Assange.

Menurut akhbar The Daily Mail, setibanya di Moscow, Snowden telah bermalam di sebuah hotel yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo.

Akhbar itu melaporkan, beliau kemudiannya dijadualkan untuk menaiki penerbangan ke Cuba sebelum membuat penerbangan transit ke Ecuador.

Menteri Luar Ecuador, Ricardo Patino Aroca dipetik sebagai berkata yang Snowden secara rasmi telah memohon suaka politik daripada negaranya.

Assange, 41, sendiri pernah memohon perlindungan yang serupa di Kedutaan Ecuador di sini selama setahun.

Dalam perkembangan yang sama, Snowden, 30, telah ditemani oleh seorang aktivis hak asasi kemanusiaan British, Sarah Harrison dalam perjalanan ke Moscow.

Sarah kini bertindak sebagai jurucakap WikiLeaks dan juga Snowden.

Menurut Daily Mail lagi, mereka telah menaiki penerbangan Aeroflot kelas bisnes dan setibanya di Moscow telah disambut oleh para pegawai Kedutaan Ecuador termasuklah dutanya, Patricio Chavez.

Snowden telah didakwa membocorkan rahsia negara selepas beliau membuat pendedahan bagaimana Jabatan Keselamatan Negara Amerika membina sistem komputer yang dapat mengintip sesiapa sahaja di muka bumi yang menggunakan internet, Facebook, emel dan panggilan telefon.

Selepas Snowden melarikan diri dari kediamannya di Hawaii ke Hong Kong dan membuat pengakuan terbuka menerusi temuramah dengan akhbar The Guardian UK mengenai projek pengintipan tersebut, kerajaan AS telah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya dan juga mengemukakan permintaan rasmi daripada kerajaan Hong Kong agar tidak membenarkannya meninggalkan pulau tersebut.

Bagaimanapun permintaan AS itu mendapat reaksi dingin daripada China selepas mereka mendapati hasil daripada pendedahan Snowden, bagaimana AS mengintip dan mengodam akses syarikat telekomunikasi China untuk tujuan pengintipan.

Serentak dengan itu, pihak pentadbir Hong Kong dalam satu kenyataan ringkas pada Sabtu menyatakan yang Snowden kini tidak lagi berada di negara itu setelah mengambil penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chep Lap Kok atas kerelaannya sendiri setelah melalui proses dan prosedur yang sah dari segi undang-undang.

Malah pentadbir Hong Kong menegaskan yang dokumentasi yang dikemukakan oleh kerajaan AS berhubung penahanan Snowden tidak selari dengan undang-undang mereka.

Tindakan Hong Kong dan Kerajaan China untuk melepaskan Snowden keluar dari negara itu telah mencetuskan kemarahan AS dan Jabatan Keselamatan Negara dengan alasan bagaimanakah Snowden meloloskan diri setelah pasport antarabangsanya dibatalkan.

Artikel Lain