suria

Pejabat Audit Kesan 24 Juta Yuan 'Dana Bermasalah' Dalam Belanjawan 2012

BEIJING: Badan audit tertinggi China mendedahkan ia memiliki kira-kira 24 juta yuan (US$3.89 juta) 'dana bermasalah' semasa menyediakan Belanjawan 2012.

Pejabat Audit Negara (NAO) mengesan ia memiliki kira-kira 4.47 juta yuan dana yang melanggar peraturan belanjawan, dan sebanyak 19.57 juta yuan dana bermasalah lain dalam perolehan kewangan dan perbelanjaan.

Isnin lepas, pejabat audit berkenaan menyiarkan semakan semula ke atas 57 jabatan dalam kerajaan pusat termasuk pejabat audit, mengenai cara mereka menyediakan Belanjawan 2012, lapor China Daily.

Laporan itu juga menyebut mengenai 'dana cacat' yang besar, termasuk yang bertentangan syarat pembelian kerajaan serta perbelanjaan berlebihan untuk meraikan petugas dan lawatan ke luar negara, di kebanyakan kementerian dan suruhanjaya.

Bekas Kementerian Kereta Api yang dibubarkan pada Mac, membelanjakan kira-kira 1.57 bilion yuan dana bermasalah berbanding belanjawannya, selain 805.8 juta yuan dana cacat dalam perolehan kewangan dan perbelanjaan.

Laporan itu menunjukkan Kementerian Pelajaran tidak memasukkan 78.25 juta yuan pendapatan daripada faedah bank dalam belanjawannya tahun lepas.

Institut Penyelidikan Tenaga Suruhanjaya Pembangunan dan Reformasi Negara membelanjakan kira-kira 1.79 juta yuan untuk sambutan rasmi, yang melebihi belanjawan sebanyak 1.3 juta yuan, kata NAO.

Laporan NAO bagaimanapun berkata perbelanjaan sebanyak 3.61 juta yuan untuk penyelenggaraan komputer dan mengemas kini peralatan, tidak dimasukkan dalam belanjawannya.

Ia juga berkata sejumlah 643,100 yuan, yang dibayar pada 2012 untuk produk perisian, namun tidak menerima produk berkenaan hingga Mac 2013.

NAO merancang membelanjakan 216,000 yuan untuk meningkatkan keselamatan pejabat dan sistem kebakaran, namun projek itu tidak dilaksanakan, kata laporan berkenaan.

Agensi Shenyang NAO tidak mengembalikan lebih 10.33 juta yuan pendapatan sewa rumah kepada kerajaan pusat dan merancang menggunakan wang itu untuk perlindungan insurans perubatan untuk pekerja dan petugas yang bersara, katanya.

Laporan itu menyebut bahawa Majlis Kebangsaan bagi Dana Keselamatan Sosial memperuntukkan 1.52 bilion yuan pinjaman amanah untuk dua projek di wilayah Guizhou dan Yunnan pada 2011 dan 2012, namun 275 juta yuan pinjaman itu digunakan untuk projek lain.

China Daily memetik Du Xiangqian, pakar ekonomi dan penyelidik sebagai berkata NAO akan mengeluarkan garis panduan yang memerlukan jabatan mematuhi kesilapan dalam tempoh yang ditetapkan, dan pelanggaran peraturan akan dirujuk kepada pihak berkuasa antirasuah selepas pendedahan mengenai dana bermasalah itu.

Pada 17 Jun, 2013, Perdana Menteri Li Keqiang menggesa pihak berkuasa meningkatkan kawalan ke atas kuasa yang dimiliki selain membantu membersihkan kerajaan, semasa melawat NAO. - BERNAMA

Artikel Lain