suria

Jerebu: Singapura Hantar Wakil Khas Sampaikan Surat Kepada Pemimpin Indonesia

SINGAPURA: Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Dr Vivian Balakrishnan akan ke Jakarta pada Khamis sebagai wakil khas Perdana Menteri Lee Hsien Loong, untuk menyampaikan sendiri surat Lee kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengenai masalah jerebu.

Dalam kenyataan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negara berkata, Balakrishnan akan menemui Menteri Alam Sekitar Indonesia Prof Dr Balthasar Kambuaya untuk menyampaikan surat tersebut.

Dalam surat itu, Lee berkata, beliau dan Presiden Susilo telah bersetuju untuk bekerjasama memerangi pencemaran merentasi sempadan semasa 'Leaders Retreat' di Singapura, pada April.

Beliau menyampaikan kebimbangan terhadap kesan jerebu yang teruk ke atas Singapura dan rakyatnya dan menggesa Indonesia agar mengambil tindakan sesuai dan konkrit untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Lee menawarkan bantuan Singapura untuk memadamkan kebakaran di Sumatera, termasuk kemudahan pesawat untuk pembenihan awan dan gambar satelit serta koordinasi titik panas untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dalam pembakaran haram.

Beliau juga menggalakkan Indonesia untuk meratifikasi Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.

Balthasar mengakui kebimbangan Singapura dan memaklumkan kepada Balakrishnan mengenai langkah-langkah yang diambil Indonesia untuk memerangi kebakaran di Sumatra.

Ini termasuk 'water bombing' dan menyiasat syarikat-syarikat perladangan yang terlibat dalam aktiviti pembakaran haram.

Balthasar juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, lebih awal daripada tarikh asal yang dijadualkan Ogos depan.

Balthasar berjanji untuk mempertimbangkan tawaran bantuan Singapura dan meneroka bagaimana kedua-dua negara boleh membuat tindakan susulan terhadap saranan surat Perdana Menteri Lee.

Dalam kenyataan berasingan, Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) berkata bacaan Indeks Standard Pencemaran (PSI) tiga jam meningkat ke 401 pada pukul 1 petang Khamis dan telah menurun kepada 137, pada pukul 8 malam.

Bacaan PSI 24-jam kini dalam julat antara 173 hingga 225.

Angka PSI tiga jam adalah satu angka yang tidak menentu yang boleh berubah dengan cepat.

"Kami masih mengharapkan bacaan PSI 24-jam untuk hari ini berada dalam julat antara 200 hingga 300," menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Artikel Lain