suria

Remaja Perempuan Penggal Kepada Bapa Setelah Tidak Tahan Dirogol Berkali-Kali

SYDNEY: Seorang remaja perempuan Papua New Guinea (PNG), memenggal kepala bapanya sendiri setelah dia tidak tahan menjadi mangsa rogol.

Menurut akhbar The Post-Courier, masyarakat setempat kini mempertahankan remaja perempuan berusia 18 tahun itu dengan alasan mangsa memang wajar menerima pembalasan akibat perbuatannya sendiri.

Akhbar itu melaporkan, mangsa yang berusia pertengahan 40-an mempunyai tiga lagi anak dan dia mengambil kesempatan merogol anak perempuannya sendiri apabila ibu mereka tidak ada di rumah kerana berkunjung ke rumah saudara.

Seorang paderi tempatan, Lucas Kumi mengesahkan kejadian rogol itu dan juga kes pembunuhan tersebut.

Menurut paderi tersebut, bapa remaja perempuan itu mahu merogol anaknya sekali lagi pada waktu pagi dan ketika itulah dia bertindak berani memotong kepala bapanya menggunakan parang.

Kini paderi berkenaan dan para pemimpin masyarakat enggan menyerahkan remaja perempuan tersebut kepada polis.

"Kami semua telah pergi melihat mayat bapa mangsa di rumahnya dan kami semua percaya dengan ceritanya. Dia telah melakukan apa yang perlu dilakukan untuk mempertahankan dirinya daripada terus menjadi mangsa rogol bapa kandungnya sendiri...sebab itulah kami mempertahankan tindakannya itu," ujar Paderi Kumi lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain